Thursday, 12 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 7(e-novel)


Malam itu, Ilham tidak dapat tidur. Kali pertama bertentang mata dengan perempuan yang sah menjadi isterinya tiga tahun lalu sungguh menyesakkan jiwanya. Walaupun tindakan perempuan itu meninggalkan majlis pernikahannya sangat memberi kesan kepada diri serta keluarganya, dia tidak dapat menafikan perasaannya kepada Fida yang disedari mula bercambah beberapa bulan selepas mereka bernikah.
Ternyata, suruhan ibunya untuk menjejaki Fida di Jepun telah mengubah sedikit persepsi negatifnya sebelum ini terhadap Fida.

Ilham mendapat maklumat tentang tempat tinggal isterinya daripada abang iparnya, Farid. Puas dia memujuk Farid untuk memberikan maklumat berkenaan Fida. Pada mulanya Farid tidak mahu memberikan kerjasama. Namun, melihatkan kesungguhan yang ditunjukkan Ilham, dia bersetuju untuk membantu dengan syarat, bantuan yang diberikan tidak dibocorkan kepada sesiapa. Farid tidak mahu Fida marah kepadanya
.
Sejurus tiba di bumi matahari terbit, dia terus diambil oleh orang yang telah diupah untuk membantunya sepanjang dia berada di Jepun. Dari Tokyo, dia bergerak menuju ke Ibaraki, tempat di mana Fida sedang belajar. Dengan bantuan pembantunya di Jepun, dia berjaya menyewa sebuah rumah betul –betul bertentangan dengan apartment yang disewa Fida.

Dari situ, dia memerhatikan gerak geri Fida setiap hari sepanjang dua minggu di sana. Sengaja dia tidak mahu berjumpa dengan Fida pada masa itu. Niatnya cuma mahu memerhatikan perwatakan dan cara pembawakan diri seorang wanita yang sudah bergelar isterinya.

Suatu hari, sewaktu Fida baru pulang dari kelas yang dihadiri, kebetulan Ilham berada di kedai runcit berdekatan rumah sewanya. Sebaik terlihatkan kelibat Fida, Ilham melangkah keluar dari kedai untuk memerhati Fida dengan lebih dekat.

 Dengan tidak semena-mena, seorang budak berlari ke tengah jalan tanpa menyedari ada kereta di hadapan. Fida yang melihat keadaan itu tanpa berfikir panjang terus menolak budak itu ke tepi jalan dengan niat menyelamatkan budak lelaki itu daripada dilanggar. Malang tidak berbau, Fida pula menjadi mangsa apabila kereta itu menghentam tubuh Fida.

Terasa mahu tercabut nyawa Ilham. berlari dia mendapatkan Fida yang berlumuran darah. Tudung yang dipakai Fida sudah bertukar warna merah. Matanya perlahan-lahan tertutup. Melihatkan Fida sudah tidak menyedarkan diri, Ilham cemas. Segera dia mengendong Fida untuk dibawa ke hospital berdekatan. Dua hari Fida tidak sedarkan diri. Dan sepanjang waktu itulah Ilham sering menemaninya. Apabila beberapa kawan Fida datang melawat, segera dia menyembunyikan diri. Risau identiti dirinya terdedah.

Dia tidak putus-putus berdoa agar Allah tidak mengambil nyawa Fida. Wanita yang telah berjaya mengusik tangkai hatinya walaupun wanita itu langsung tidak mengenali dirinya. Ilham yakin, Fidalah hawanya. Hawa pelengkap rusuk kirinya.

Sebaik Fida sedarkan diri, tidak sudah-sudah dia mengucapkan syukur kerana mengabulkan permintaannya.  Dia kembali memerhatikan Fida dari jauh. Perkembangan kesihatan Fida dia ketahui dari doktor yang melawat Fida dengan bantuan pembantunya di sini.

Namun, musibah sekali lagi melanda Ilham. Semasa masih berada di Jepun, dia mendapat panggilan yang betul-betul meruntun jiwa. Kedua orang tuanya telah kembali ke rahmatullah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu ayahnya mengambil ibunya dari hospital selepas selesai ibunya menjalani rawatan kimoterapi.

Akibat dari kematian kedua orang tuanya, dia terpaksa memikul tugas berat untuk menguruskan perniagaan ayahnya dalam usia muda. Tambahan pula, ayahnya tidak mempunyai anak bersama isteri keduanya, Pn. Rahmah. Walaupun Pn. Rahmah merupakan ibu tiri kepada Ilham, namun Pn. Rahmah melayan Ilham seperti anaknya sendiri.

Dalam tempoh masa dia bertatih meneruskan legasi perniagaan ayahnya, dia langsung tidak punya masa untuk memikirkan tentang dirinya. Buat seketika, dia terpaksa melupakan Fida. Namun, dia masih tahu tanggungjawabnya. Setiap bulan, dia akan memasukkan duit untuk kegunaan isterinya itu. dia juga meminta Farid agar mengatakan kepada Fida bahawa duit itu adalah dari Farid sendiri. Biarlah mereka tidak berjumpa sekarang. Apabila tiba masanya, semua permasalahan mereka pasti dapat dirungkai dengan sebaiknya.

No comments:

Post a Comment