Friday, 27 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 15(e-novel)


Fida dan Meetha hampir berputus asa apabila ketukan di pintu langsung tidak dibuka. Sebaik mahu beredar ke receptionist untuk bertanya sama ada En. Ilham sudah chek out atau belum, pintu bilik tiba-tiba dibuka.

Wajah Ilham yang pucat terlihat di sebalik pintu. Matanya masih tertutup. Belum sempat Meetha atau Fida bersuara, Ilham sekali lagi rebah. Nasib baik kali ini Fida sempat menyambut tubuh Ilham. Berat badan Ilham ditahan dengan kudrat yang ada.

Badan Ilham masih panas seperti semalam. Langsung tidak kebah. Risau Meetha melihat keadaan lelaki yang sudah 1 tahun menjadi majikannya itu. namun, Meetha tidak dapat menandingi debaran dan kerisauan di hati Fida.

“Meetha, go and get help!” Fida memberikan arahan. Tangannya mengusap rambut dan pipi Ilham yang terbaring di atas pahanya.

Dengan pantas Meetha menghilang. Pergi meminta pertolongan.

Riak kerisauan jelas terpancar di wajah Fida. dia rasa bersalah kerana mementingkan diri semalam. Menangis dek menyesali perbuatan lampau tanpa mempedulikan sakit yang ditanggung suaminya. Malah, walaupun kesakitan, Ilham sehabis baik tidak menunjukkan kesakitannya sehingga Fida langsung terlupa sakit yang ditanggung lelaki itu.

Beberapa minit kemudian, Meetha kembali dengan membawa seorang lelaki dalam lingkungan 30-an yang membawa beg bimbit di tangan serta bebarapa orang yang memakai pakaian hotel. Lelaki yang dibawa Meetha memperkenalkan diri sebagai Dr. Helmi. Kemudian, beberapa orang pekerja hotel itu mengangkat tubuh Ilham lalu diletakkan di atas katil.

Semasa doktor itu sedang merawat, Meetha berkata dia terserempak dengan doktor tersebut di lobi hotel. Mendengar kata-katanya yang meminta dipanggilkan doktor, lelaki tersebut terus menawarkan diri. Katanya, dia sedang bercuti di sini.

Fida melihat doktor itu meletakkan stetoskop di dada Ilham. Kemudian, sejenis alat penyukat suhu diletakkan di dalam telinga. Bacaan suhu jelas tercatat pada alat tersebut.

“Nampaknya, kita kena bawa pesakit ini ke hospital. Bacaan suhunya sangat tinggi.” Dr. Helmi berkata selepas selesai merawat Ilham.

“Ya allah. Teruk ke sakitnya doktor?” Fida bertanya kerisauan.

“Pada saya agak teruk demamnya ni. Saya tak dapat periksa dengan teliti kerana kekurangan alatan. Sebelum tu, boleh saya tahu pesakit ini ada apa-apa sakit lain tak sebelum ni? Contohnya tekanan darah rendah atau gastrik?” doktor itu bertanya.

“En. Ilham ada gastrik.” Meetha menyampuk.

“Nampaknya, pesakit turut terkena serangan gastrik.” Dr. Helmi membuat kesimpulan.

“Kami telah sediakan kenderaan untuk bawa En. Ilham ke hospital. Kami akan bawa En. Ilham ke Hospital Seri Manjung. Boleh saya tahu siapa yang akan ikut En. Ilham ke sana?” Seorang pekerja hotel bersuara.

“Saya akan ikut.” Fida menawarkan diri. Meetha tidak membantah.
…………………………………………………………………………

Beberapa jam di bilik rawatan, Ilham terpaksa ditahan di dalam wad disebabkan suhu badannya yang tinggi ditambah pula gastrik yang dihidapi. Badannya juga perlu dimasukkan air. Dia sudah sedarkan diri dari pengsan semasa di dalam feri tadi. dia cuba menolak untuk dibawa ke hospital namun ditegah oleh Fida. 
tidak kuat untuk melawan, akhirnya Ilham diam. Kembali memejamkan mata.

Sebaik ditempatkan di dalam wad kelas pertama, jururawat memberikan ubat untuk dimakan Ilham selepas diperiksa oleh doktor. Lagak budak kecil yang takutkan ubat. Dia langsung tidak mahu membuka mulut apabila Fida menyuakan ubat di mulutnya. Setelah dipaksa dan dimarahi oleh Fida, barulah Ilham menelan ubat tersebut. Kesan dari ubat yang dimakan, sampai kepetang Ilham melelapkan mata.

Fida terpaksa menemani Ilham di hospital malam ini atas permintaan Ilham. Sebaik sedar, Ilham melarang Fida mengikut Meetha pulang ke hotel. Fida yang diharungi rasa bersalah dan tanggungjawab mengikut saja permintaan Ilham. Pekerja lain tiada yang berani membantah walaupun timbul keraguan kerana sepatutnya, hanya ahli keluarga yang dibenarkan menemani pesakit.

Meetha dan beberapa pekerja syarikat baru sahaja pulang ke hotel sebentar tadi. En. Zul turut bersama beberapa Ahli Lembaga Pengarah syarikat turut datang melawat. Mereka akan menguruskan prosedur agar En. Ilham dipindahkan ke hospital swasta selewat-lewatnya esok hari.

Malam ini, akan berlangsung majlis makan malam syarikat. Sebelum bertolak balik pagi keesokan harinya. Nampaknya Fida dan Ilham tidak dapat menghadiri majlis tersebut. Fida pun hanya sempat menyertai aktiviti semasa hari pertama sampai ke Pangkor. Aktiviti lainnya tidak berpeluang untuk disertai. Ilham lagilah, sejak datang ke Pangkor hanya terperap di dalam bilik. Kalau begitu, baik mereka tak payah datang. Menghabiskan masa dan duit sahaja. Akhirnya, penyakit juga yang dapat.

Pagi itu suasana kecoh lagi. Kali ini Ilham nekad. Dia mahu pulang. Dia tidak mahu dipindahkan ke hospital swasta seperti yang telah diuruskan. 

"Awak ni kenapa degil sangat? cakap orang lain langsung tak nak ikut. sakit-sakit pun nak melawan!" Fida memarahi Ilham yang separuh bersandar. Geram dengan ragam lelaki itu yang tidak mahu dirawat. sudahlah badannya sakit-sakit terpaksa tidur di atas kerusi sahaja malam tadi. tidak cukup tidur melayan Ilham yang mengerang pada malam hari. sekarang, lelaki itu pula buat perangai. mulalah dia rasa anginnya tidak berapa betul hari ni.

"Suka hati sayalah. saya nak balik. badan saya, saya tahulah bagaimana nak jaga." Tenang sahaja reaksi Ilham. tahu isterinya itu tertekan. jika dia pun turut tinggikan suara, pasti isterinya akan lebih menyinga.

"Awak ni kan. langsung tak hargai penat lelah saya jaga awak malam tadi. Ok, fine. ikut suka awak. malas saya nak ambil peduli!" Fida membentak. dia melangkah sambil menghentak sedikit kakinya. tanda protes. langkah diatur menjauhi Ilham.

Berbeza dengan dirinya. Dia bukanlah seorang yang mudah melenting. Dia jenis yang berfikir dahulu sebelum bertindak. Menimbang buruk baiknya sebelum melakukan sesuatu. Ilham juga bukan jenis yang cepat mengalah. Namun begitu, dia juga punya kelemahan. Dia keras kepala orangnya. Tidak mudah menurut aturan yang ditetapkan orang lain untuk dirinya.

Akhirnya, doktor membenarkan saja Ilham pulang memandangkan tubuh Ilham tidak lagi perlu dimasukkan air. Suhu badannya juga sudah turun sedikit. Gastriknya juga sudah tidak menyerang.

Setelah urusan keluar wad selesai, En. Zulkifli dengan rela hati meminjamkan pemandunya membawa kereta Ilham untuk menghantar dia pulang. Fida juga dipaksa pulang bersama ke Kuala Lumpur menemani Ilham. Rupa-rupanya, En. Zulkifli sudah lama tahu bahawa Fida adalah isteri kepada Ilham. Patutlah dia tidak membuka mulut apabila gossip mengenai Ilham dan Fida tersebar luas.

Cemberut mukanya apabila dipaksa pulang bersama Ilham. Fikirnya, dia mahu pulang menaiki bas bersama Meetha. Kebetulan, waktu bas bertolak balik adalah sama dengan waktu Ilham keluar wad. dia sudah menghubungi Meetha untuk mengusulkan rancangannya. 

Bukan apa, cuma mahu mengambil nafas setelah apa yang berlaku dua malam sebelum itu. berada bersama Ilham sekarang membuatkan nafasnya terasa lelah. tidak berpeluang berfikir sebaiknya tentang apa yang telah berlaku. Dia mahu menimbang baik buruknya dan langkah yang wajar diambil selepas ini. Dan melihatkan saja apa yang sedang berlaku, nampaknya, selepas ini dia terpaksa saja mengikut rentak Ilham. lelaki itu seperti tidak memberi ruang kepadanya untuk bertindak sendiri.

Kali ini perjalanan pulang mereka sepi sahaja. Ilham tidak banyak bersuara. Masanya dihabiskan dengan tidur. Telinganya, disumbatkan I-pod.  Sekali-sekala Fida berbual dengan Pak Bakar pemandu kepada En. Zulkifli apabila kebosanan terasa.

Kurang dari 4 jam perjalanan, mereka tiba di banglo tiga tingkat milik Ilham. Ternganga juga Fida melihat banglo besar dihadapannya. Suasana yang nyaman serta dekorasi yang mewah membuatkan Fida terpana. Di hadapan rumah, tersusun tiga buah kereta kesemuanya berjenama mewah seperti Mercedes benz SL63, Mini cooper dan Mazda 6.

Ketibaan mereka disambut dengan kehadiran dua orang wanita di muka pintu. Kedua-duanya berusia dalam lingkungan 50-an. Seorang wanita kelihatan bergaya dengan kurung moden. Seorang lagi hanya berkain batik dengan baju kurung kedah. Fida dapat mengagak wanita bergaya itu  adalah ibu tiri Ilham manakala seorang lagi adalah pembantu rumah.

“Ibu, kenalkan. Ini Fida. Isteri Ilham.” Ilham mengenalkan Fida kepada ibu tirinya, Pn. Rahmah.

Lantas Fida menghulurkan tangan bersalaman dengan kedua-dua wanita di hadapannya itu.

“Cantiknya, Ilham. Patutlah selama ini kamu tak cari lain.” Fida tidak dapat mengagak sama ada Pn. Rahmah iklhas memujinya ataupun menyindir.


Wajah Ilham dicari. Ingin mengetahui riak yang terhasil daripada kata-kata Pn. Rahmah. Namun, lelaki itu hanya tenang disitu. Tidak senyum dan tidak juga berkerut. Biasa saja.

“Apa khabar Puan.” Fida memaniskan wajah. Seboleh mungkin dia mengawal tingkah laku agar tidak nampak canggung di mata orang-orang di hadapannya.

“Jangan panggil puan. Panggil ibu. Ilham pun bahasakan diri ibu sejak ibu kahwin dengan papa dia dulu.  Ibu sihat. Eh, jemputlah masuk. Jangan berdiri di sini saja.” Manis sahaja wajah Pn. Rahmah. Dia menarik tangan Fida mengikut langkahnya memasuki perut rumah mewah itu. Kelibat Ilham sudah tidak kelihatan. 

Entah mana lelaki itu pergi tidak pula Fida perasan apabila keindahan dekorasi dan layanan mesra tuan rumah lebih menarik minatnya.

Friday, 20 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 14(e-novel)


Fida memisat-misatkan mata. Terasa sakit dan silau. Kepalanya pula terasa berdenyut-denyut kesan dari tangisan malam tadi. sebaik dia membukakan mata, terkejut melihat Ilham sedang nyenyak tidur disebelahnya. 

Lega, dia masih berpakaian seperti malam tadi. Otaknya ligat bekerja cuba mengingati bagaimana dia boleh berada di atas katil bilik Ilham. Dia hanya mampu mengingat yang dia menangis di atas sofa di penjuru bilik sehingga tertidur. Yakin sekali dia tidak tidur di atas katil ini semalam.

“Jangan-jangan Ilham yang angkat aku tak?” Fida menelah. Serentak itu, mukanya bertukar merah. Malu membayangkan Ilham sedang mengangkatnya.

Setelah pasti Ilham masih belum terjaga, dia terus mencapai tudung di birai katil. Mahu segera pulang ke biliknya. Fida segan mahu menatap wajah Ilham jika lelaki itu bangun nanti. Dia teringatkan peristiwa malam tadi semasa mereka berpelukan dan juga hakikat mereka sebenarnya suami isteri yang sah.

Sepanjang jalan ke bilik, dia menyumpah-nyumpah dirinya yang tertidur sehingga terlepas solat subuh. Mana tidaknya, dia hanya tersedar apabila jarum jam tepat menunjukkan angka 8.30 pagi. Sampai sahaja di bilik, dia melihat Aisya masih terlelap. Tidak mahu mempedulikan Aisya, dia terus mencapai tuala lalu masuk ke bilik air untuk mandi dan menqada’ solat subuhnya.

“Dah pagi baru balik? Seronok melayan jantan malam tadi?” Aisya berkata sebaik  Fida menyudahkan solat.
Menyirap darah Fida mendengar kata biadap yang keluar dari mulut Aisya. Rasa ringan sahaja tangannya mahu melempang mulut perempuan itu.

“Mulut kau jaga baik-baik sikit ya. Apa hak kau nak fitnah aku macam tu?” Fida sudah menyinga. Ditahan dirinya agar tidak mengapakan perempuan dihadapannya.

“Fitnah? Hahaha.. aku ada bukti lah yang kau pergi bilik Ilham semalam. Kau nak tengok?” dengan senyuman sinis dia menunjukkan gambar Fida yang sedang berbual di hadapan pintu bilik Ilham dari telefon bimbitnya.

“See, aku tak fitnah kau. Aku ada bukti. Dan lepas ni, kau bakal popular sebab aku akan sebarkan gambar-gambar ni kepada staf-staf Lavenda Group. Baru dorang tahu perangai sebenar kau.” Aisya ketawa kuat.

Fida mengetap bibir. Geram dengan tindakan Aisya. “kau nak sebar gambar tu? Sebarlah. Kau ingat aku takut?” Fida kembali mencabar. Tidak mahu kelihatan lemah di hadapan Aisya.

Aisya yang tadi ketawa kuat tiba-tiba berubah riak. “Kau ingat aku tak berani nak buat semua tu? Aku akan pastikan kau terima balasan sebab rampas Ilham dari aku!” Aisya berkata sambil menuding jari ke muka Fida. selepas itu,terus dia keluar dari bilik meninggalkan Fida berseorangan.

Mendengar kata-kata Aisya, barulah dia mengerti semuanya disebabkan Ilham. Fida membuat kesimpulan bahawa Aisya cintakan Ilham lalu menuduhnya menjadi punca dia kehilangan Ilham.

Kemudian dia teringatkan panggilan telefon yang menyebabkan dia pergi ke bilik Ilham.

“Aisya ke yang rancang semua ini?” Fida bertanya kepada dirinya sendiri.
……………………………………………………

Sebaik melangkah kaki ke restoran untuk makan tengahari, banyak mata yang memerhati. Terasa canggung sebentar. Terus dia mencari kelibat Meetha yang dikatakan duduk semeja bersama staf dari Jabatan Teknologi Maklumat.

Dia melemparkan senyuman kepada kakitangan yang terserempak dengannya di lobi hotel namun tiada yang membalas senyumannya. Dia bertambah pelik. Seketika dia terfikir akan ugutan dari Aisya sebentar tadi. adakah Aisya sudah bertindak?

Tadi dia terlepas aktiviti sukaneka yang telah diaturkan. Sengaja tidak mahu turut serta. Risau jika ada yang menegur matanya yang bengkak. Sekarang ini pun dia memakai cermin mata hitam supaya tidak ada yang perasan.

Meetha yang melihat kelibat Fida menggamit dari jauh. Meetha duduk berseorangan di penjuru restoran. Lantas langkah diatur menghampiri Meetha.

“kenapa you tak join sukaneka tadi?” Meetha bertanya setelah pelayan yang mengambil order beredar dari meja mereka.

“I tak sihat la Meetha. Best tak sukaneka tadi?” Fida berbohong. Tidak mahu peristiwa malam tadi diketahui Meetha.

“You jangan tipu I. you tahu tak, rumors tentang you dah tersebar? Dorang cakap, you  ‘layan’ En. Ilham malam tadi!” Meetha menekankan ayatnya. Namun, suaranya masih diperlahankan. Risau jika ada orang selain mereka yang mendengar.

“Habis you percaya?” Fida bertanya kembali. Nampaknya, Aisya sudah buat seperti apa yang dikatakan tadi. pasti sekarang ini ramai yang sedang bercakap tentangnya dan Ilham.

“I tak tahu nak cakap apa. I call you, you off phone. I pergi bilik you pagi-pagi lagi tapi Aisya cakap you tak balik bilik. And more surprising, dia tunjukkan gambar you dihadapan bilik Ilham. You  pun boleh agak kan apa yang dia cakap pasal gambar tu?” Meetha berkata.

“I memang pergi bilik Ilham malam tadi.” Tenang Fida menjawab. Dia sudah bersedia sejak Aisya mengugutnya.

“What??” Terkejut Meetha mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Fida. mulutnya ditutup dengan tangan apabila menyedari suaranya menarik perhatian pengunjung lain.

“Nanti dulu, you jangan salah faham. Semalam I terima panggilan dari orang yang tak dikenali. Dia cakap terjadi something pada En. Ilham. Bila I pergi bilik dia, rupanya dia tak sihat. Dia suruh I tunggu sekejap sebab nak bagi barang. Tapi tiba-tiba dia pengsan. I nak call you suruh you datang tolong I. tapi bateri phone I habis. Dah dia pengsan, takkan I nak tinggal dia sorang-sorang dalam billik.” Dia berhenti di situ. Kejadian seterusnya biarlah menjadi rahsia.

“Oh, lega I dengar. So macam mana dengan En. Ilham sekarang? Dia dah ok?” Lega Meetha mendengar penjelasan Fida. ternyata apa yang dicanangkan oleh orang berkenaan Fida tidak benar.

Mendengar pertanyaan Meetha, dia teringat kepada Ilham. Dia keluar dari bilik Ilham pagi tadi semasa Ilham sedang tidur. Tidak pasti demam suaminya itu sudah kebah atau  belum. Rasa risau menjentik hati.

“I tak sure la. Apa kata you try call dia sekarang? Tanya dia dah sihat ke belum?” Fida menyuruh Meetha menghubungi Ilham. Dia masih segan untuk bercakap dengan lelaki itu.

Mendengar saranan Fida, Meetha mengeluarkan telefon bimbit. Nombor Ilham dicari dan dihubungi. Panggilan pertama tidak dijawab. Didail beberapa kali lagi namun hasilnya tetap sama.

“Dia tak jawab la Fida. Apa kata kita naik tengok dia? I kenal our boss tu. Kalau sakit tak pernah nak makan ubat. En. Zul pernah cakap, kalau Ilham sakit hanya arwah ibunya yang boleh paksa dia makan ubat atau suruh dia pergi klinik. Kalau orang lain suruh, tak pernah dia dengar.” Meetha berkata.

“Kalau macam tu, kita makan cepat. Lepas tu terus kita naik bilik tengok bos.” Fida memberikan kata putus.

Tuesday, 17 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 13(e-novel)


“Assalamualaikum, cik. Kami dari Jabatan Agama Islam. Kami ada menerima laporan berlaku maksiat di sini. Kami harap cik boleh memberikan kerjasama.” Seorang lelaki bersongkok yang berada di hadapan sekali bersuara. Bersamanya beberapa orang lelaki dalam lingkungan 40-an memandang tepat ke muka Fida.

Fida kaget. Salam yang dihulurkan pun dia tidak mampu dijawab. Dia berpaling memandang wajah Ilham yang kini sudah berada di belakangnya.

Ilham dilihat tenang sahaja. Fida pula sudah mahu menangis. Memikirkan akan kata-kata orang berkenaan dirinya. Saat ini dia mula memikirkan ayahnya, abang-abangnya serta suami yang tidak pernah dikenalinya. Apa yang mereka akan cakap selepas berita ini tersebar? Hubungan yang keruh akan semakin keruh selepas ini. Terasa kusut fikirannya.

“Encik, kami tak salah encik. Kami tak buat apa-apa pun, saya….” Belum sempat Fida menghabiskan bicara lelaki tadi memotong katanya.

“Semua yang saya jumpa akan kata mereka tak bersalah. Berikan saya kad pengenalan serta kad nikah. Jika ada kad nikah, barulah encik berdua tidak bersalah. Jika tidak, kami terpaksa dakwa kamu berdua atas tuduhan berkhalwat.” Terasa bagai ada batu besar menghempap dirinya tika ini. Air matanya menunggu masa mahu gugur.

Ilham berlalu ke meja sisi di tepi katilnya. Beg duitnya diambil dan dibawa ke muka pintu lalu berdiri di sebelah Fida. dia mengeluarkan dua keping kad daripada dompetnya lalu diserahkan kepada lelaki di hadapan mereka.

Seketika lelaki bersongkok itu meneliti kad yang diberikan Ilham. dia membelek-belek kad yang sudah bertukar tangan sebelum menyerahkan kepada orang di belakangnya pula. Setelah berpuas hati, kad tersebut diserahkan kembali kepada Ilham.

“Maafkan kami encik. Kami harap encik faham, kami hanya menjalankan tugas seperti yang diamanahkan. Kami bertindak pun setelah menerima aduan.” Lelaki tersebut memohon maaf. Matanya memandang ke arah Ilham.

“Tak mengapa, saya faham.” Ilham menjawab ringkas. matanya melirik mencari wajah Fida yang kelihatan tidak beriak. mungkin tidak dapat mencerna apa yang sedang berlaku.

“Terima kasih atas kerjasama anda berdua. Baiklah, kami pergi dulu.” Lelaki yang sama juga memohon izin untuk meminta diri. Serentak dengan itu, huluran salam disuakan lalu dibalas oleh Ilham diikuti oleh lelaki lain yang berada di situ.

Fida terpinga-pinga. Tidak menduga hal tersebut hanya berakhir di situ sahaja. Kad yang dipegang Ilham diambil pantas sebelum sempat Ilham menyimpannya semula. Kad tersebut jelas terpampang gambar dan nama Ilham serta dirinya.

Matanya membulat membaca perkataan yang tertulis pada muka kad tersebut. Mindanya mencerna apa sebenarnya yang sedang berlaku. Serentak dengan itu, dia mendongak mencari wajah Ilham.

“Apa semua ini encik?” Fida mula menagih penjelasan.

“Apa yang awak tak faham? Awak tak faham yang sebenarnya awak isteri saya? Isteri yang meninggalkan majlis pernikahannya tanpa menatap wajah suaminya?” Ilham menjawab dengan pertanyaan. Tinggi nada suaranya. Dia kembali duduk di atas katil kerana badannya terasa amat lemah saat ini.

“Ya Allah. Dugaan apakah ini?”Terkejut bukan kepalang Fida mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Ilham. Tidak berganjak dari tempat dia berdiri. 

Tidak disangka-sangka, Ilham Farish adalah suaminya. Pada masa itu barulah dia teringat ayah dan angah pernah menyebut nama Ilham dihadapannya. Tapi disebabkan akalnya tidak boleh berfikir dengan waras pada waktu itu, dia langsung tidak peduli dengan nama yang mereka sebutkan.

“Awak tahu tak, orang disekeliling awak menderita disebabkan perbuatan awak dulu? Keluarga dan ayah awak menerima umpatan atas perbuatan awak. Mengadakan kenduri kahwin tanpa kehadiran pengantin. Ibu bapa saya meninggal sebelum sempat lihat menantu mereka. Dan awak langsung tak fikir perasaan saya bila pengantin saya lari di hari pernikahan. Awak dapat rasakah malu yang kami tanggung pada masa tu?” Ilham tidak dapat lagi menahan rasa kecewa dan marah yang dipendam selama tiga tahun ini. dia terus melepaskan bicara selepas tidak mendapat respon dari Fida.

Selama ini, dia masih mampu melihat Fida dari jauh kerana kesabaran yang berjaya dipupuk. Dia tidak mahu gopoh kerana dia tahu jika salah percaturannya, Fida akan semakin jauh dengannya. Silap hari bulan, Fida akan terus lari dari tanggungjawab. Sungguh dia tidak mahu perkara itu terjadi.

Air mata Fida mengalir laju. Fida tahu ada yang menderita akibat perbuatannya dulu. Tapi, dia langsung tidak menyangka akibat dari peristiwa itu lebih besar dari apa yang dia pernah bayangkan.

“Maafkan saya encik, maafkan saya..” hanya ucapan maaf yang mampu dituturkan buat masa ini. Terjelupuk Fida di atas lantai.Tersedu-sedu menangis menginsafi perbuatannya. Terbayang wajah ayah, along dan angah. Dia mahu berjumpa dengan mereka semua. Mahu memohon maaf atas ketelanjuran perbuatannya dulu.

Ilham menghampiri. Dipegang kedua-dua bahu Fida. ditatapnya wajah Fida yang sedang menunduk dengan juraian air mata. “Fida, mendapat pengampunan dari Allah mudah kerana Allah itu sememangnya maha pengampun. Tapi sangat sukar mendapat pengampunan sesama manusia. Perasaan dendam dan benci sering merajai manusia. Saya akui, saya juga tidak terlepas dari sikap-sikap buruk yang wujud dalam diri saya. 

suatu masa dulu, saya begitu marah dan berdendam dengan apa yang telah awak lakukan pada saya. Tapi, arwah mama telah menyedarkan saya Fida. sikap itu kelak akan merosakkan diri saya. Semenjak dari itu, saya telah belajar untuk memaafkan perbuatan jahat orang lain pada saya. Termasuk kesalahan yang telah awak lakukan. Namun saya sangat berharap pada awak, selain memohon keampunan dari Allah, segeralah memohon maaf dari ayah awak Fida. ajal manusia hanya Allah yang maha mengetahui. Penyesalan di kemudian hari tidak berguna lagi.”

Mendengar kata-kata Ilham, tangisan Fida semakin kuat. Terus sahaja dia memeluk dan menyembamkan wajahnya ke badan Ilham. Ilham yang mengerti perasaan dan kesedihan yang ditanggung Fida, membalas pelukan isterinya. Rasa sayu turut menyelubungi dirinya tika ini. 

Biarlah isterinya menangis di pangkuannya malam itu. selepas ini, Ilham amat berharap  agar dia tidak melihat lagi air mata keluar dari tubir mata isterinya. Dia mahu bahagia bersama Fida. 

"Ya Allah, panjangkanlah jodoh kami." Doa Ilham di dalam hati.

Maaf Aku Pinta - Bab 12(e-novel)


“Hello.” Fida menjawab panggilan dari nombor yang tidak dikenali.

“Hello. Cik Fida. Tolong cik. Ada sesuatu berlaku pada En. Ilham dibiliknya. Cepat datang cik.” Suara dihujung talian berbunyi cemas. Serentak itu, panggilan telefon dimatikan.

Baru Fida mahu membuka mulut untuk bertanya apa yang berlaku, telefon bimbitnya kembali gelap. Fida berfikir sejenak kemungkinan yang berlaku kepada Ilham. Baru dia teringat dia juga tidak melihat kelibat Ilham semasa barbeque tadi. Lantas, ingatannya kembali mengingati muka Ilham yang pucat di dalam kereta. Tanpa berfikir panjang, langkahnya di atur laju menuju ke bilik Ilham.

Pintu bilik diketuk. Setelah tiga kali diketuk, barulah pintu bilik dibuka dari dalam. Terjengul wajah pucat Ilham disebalik pintu. Kali pertama Fida melihat wajah Ilham tanpa kaca mata di wajah. Kacak sekali.

“Ada apa Fida?” Ilham bertanya. Hairan mengapa Fida datang ke biliknya. Tadi dia sempat melihat jam. Sudah pukul 1.30 pagi.

“Encik, encik tak apa-apa? Tadi saya dapat panggilan mengatakan sesuatu berlaku pada encik.” Fida bertanya dengan riak cemas.

“Siapa yang telefon awak?” Garis kerutan menghiasi dahi Ilham.

“Entah, tapi perempuan. Lepas dapat panggilan dari dia, terus saya datang.” Fida menjelaskan.

“saya tak apa-apa. Awak baliklah. Dah pukul berapa ni.” Ilham menyuruh Fida balik.

Sekarang ini dahi Fida pula berkerut. Siapa pula yang mempermainkannya. Menyuruhnya datang ke bilik Ilham pada waktu ini.

“Oh ya. Sebelum saya terlupa. Tunggu sekejap ya. Saya ada benda mahu berikan pada awak.” Fida memegang pintu bilik daripada tertutup. Ilham pula melangkah perlahan menuju ke arah beg pakaiannya yang disimpan di dalam almari. Sebelah tangannya memegang dinding untuk mengimbangi dirinya daripada jatuh. niatnya untuk mengambil hadiah kecil yang dibeli semasa berada di Sabah. terlupa untuk memberinya sebelum ini.

Fida hanya menunggu di hadapan pintu. Melihat langkah lemah Ilham. Dia yakin, ada yang tidak kena pada Ilham. Lihat caranya berjalan sahaja dia boleh mengagak Ilham sedang kesakitan.

Mata Ilham tiba-tiba berpinar. Dia merasa sekelilingnya seakan berputar. Dengan tidak semena-mena, dia rebah. Tidak sedarkan diri.

“Encik.” Fida bergegas masuk bila melihat Ilham rebah.

 Dia memegang tangan Ilham dan beralih ke dahi pula. “Yaa allah, panasnya.”

Pipi Ilham ditepuk perlahan. Cuba menyedarkan lelaki itu dari pengsan. Namun, tindakannya sia-sia. Ilham langsung tidak berkutik.

Dia mengeluarkan telefon bimbit. Ingin menghubungi Meetha untuk membantunya. Henset yang dikeluarkan dari poket seluar ditatap.

“Habis bateri.” Dia berkata pada diri sendiri.

Dengan kudrat yang ada, dia berusaha mengangkat tubuh Ilham. Niatnya mahu memindahkan Ilham ke atas katil. Takkan dia hanya membiarkan Ilham terbaring di atas lantai yang sejuk itu.

Setelah bersusah payah, Ilham berjaya dibaringkan di atas katil. Berkira-kira apa tindakan yang harus dilakukan selepas itu. sedang dia berfikir dalam keresahan, mata Ilham kelihatan bergerak-gerak. Fida kembali duduk disebelah Ilham yang sedang berbaring. muka Fida masih dihiasi riak kerisauan.

Seketika kemudian, Ilham membukakan matanya. Wajah Fida ditatap lembut. Entah kenapa, hatinya sayu melihat wajah Fida. tiga tahun dia sering bermimpikan wanita dihadapannya. Mengagumi tanpa dicintai.

“Encik, encik dah sedar?” Fida bertanya kerisauan.

Ilham hanya mengangguk. Tidak mengeluarkan suara.

“Kenapa encik tak bagi tahu saya yang encik sakit? Tengok sekarang apa dah jadi. Nasib baik saya ada. Macam mana kalau encik pengsan dalam bilik air sorang-sorang?” Fida berkata kerisauan. Tidak sedar yang dia sedang membebel.

Ilham tersenyum. Terasa bahagia saat ini. Sudah lama tiada yang mengambil berat akan dirinya. Walaupun ibu tirinya sering bertanya khabar berkenaan diri Ilham, namun rasa itu sungguh berlainan.  Ibu tirinya telah berpindah ke kampung kelahirannya di Terengganu selepas kematian ayahnya. Sekali sekala dia akan datang ke Kuala Lumpur untuk melawat Ilham. Sekarang, ibu tirinya masih di Kuala Lumpur dan tinggal di rumah Ilham sehingga Ilham pulang dari Pangkor nanti.

“Encik ni dah parah ni. Boleh pulak saya bercakap encik senyum-senyum. Saya bukan buat lawak encik.” Hairan dengan reaksi yang diberikan Ilham.

“Aku ada buat lawak ke tadi?” Fida berfikir.

“Awak tahu tak, sejak orang tua saya meninggal, tak pernah orang ambil berat pasal saya macam ini. Tak ada pun yang bertanya tentang sakit pening saya.” Ilham berkata sambil menatap wajah Fida. ada riak duka diwajahnya.  Posisinya masih berbaring seperti tadi.

Fida tidak tahu memberikan reaksi bagaimana. Dia sedikit kalut melihat mata Ilham. Hatinya tiba-tiba bergetar. Tangannya terasa sejuk. Terasa darah menyerbu ke muka menyedari pandangan Ilham yang berlainan sekali.

Tiba-tiba, pintu bilik Ilham diketuk keras. Terkejut Fida mendengar ketukan yang tiba-tiba itu. Fida dan Ilham berpandangan sesame sendiri. Berfikir siapa yang datang pada waktu malam begini. Ilham yang berkira-kira mahu bangun membukakan pintu ditegah oleh Fida. risau Ilham jatuh sekali lagi.

Kemudian, Fida bangun menuju ke arah pintu bilik. Ketukan keras itu masih belum berhenti.
sebaik tombol pintu dipulas, wajah Fida bertukar pucat. 

Sunday, 15 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 11(e-novel)


Setiba di Pangkor Island Beach Resort, Ilham dan Fida disambut oleh kakitangan Lavenda Group yang menjadi urusetia bagi hari keluarga ini. Anak buah Pn. Ainon telah tiba semalam untuk menguruskan berkenaan aturcara hari keluarga sehinggalah persiapan untuk majlis makan malam yang akan diadakan pada esok malam.

Sebagai pemilik syarikat, layanan first class diberikan kepada Ilham. Fida yang menjadi peneman perjalanan Ilham pada hari ini, turut menerima tempias layanan itu.

Selesai minum petang, Ilham meminta diri untuk pulang ke biliknya. Fida yang sedang bergelak ketawa dengan Yana, Mukhlis dan Swee Tin ditinggalkan saja di restoran hotel tersebut.  Walaupun tidak begitu rapat dengan kakitangan dari Jabatan Pengurusan, namun sikap ramah yang dimiliki Fida tidak menghalang mereka untuk berbual. Ramai kakitangan menyenangi peribadi Fida itu. Fida langsung tidak sombong walaupun menyandang jawatan sebagai ketua jabatan.

Fida hanya masuk ke biliknya setelah semua kakitangan syarikat yang menyertai hari keluarga ini tiba di sini. Mereka tiba secara berperingkat memandangkan hanya van-van pelancong disediakan untuk membawa pelancong ke tempat penginapan di pulau ini.

Kakitangan syarikat tidak dibenarkan memilih rakan sebilik memandangkan ada antara kakitangan yang tiba bersama keluarga. Jadi mereka perlu menerima sahaja siapa rakan sebilik mereka. Bagi kakitangan berjawatan tinggi yang datang berseorangan, mereka diletakkan secara berdua bagi satu bilik. Cuma Pengarah Urusan, Penolong Pengarah Urusan serta tiga orang Ahli Lembaga Pengarah sahaja mendapat first class room dan tidak perlu berkongsi bilik. Fida pula ditempatkan bersama Sales Manager Lavenda Group, Aisya.

Fida belum pernah mendengar nama Aisya sebelum ini. Sebaik dikhabarkan dia sebilik dengan Aisya, dia menerima sahaja. Namun, sejak tadi Aisya masih belum menampakkan diri. Hanya dia berseorangan di dalam bilik. Fida yang keletihan selepas mengharungi perjalanan selama beberapa jam terus membaringkan badan di atas katil. Berniat untuk merehatkan diri sebelum menyertai aktiviti yang seterusnya disebelah malam nanti.

Fida terjaga apabila mendengar pintu bilik dibuka seseorang. Seketika kemudian, masuk perempuan yang memakai jeans ketat paras lutut bersama body shirt. Rambutnya yang keperangan diikat satu. Fida yang tadi berbaring mengubah posisinya kepada duduk. Senyuman manis dihadiahkan apabila perempuan itu yang sedang memandang mukanya.

Perempuan itu langsung tidak membalas senyuman Fida. Malah, jelingan pula dihadiahkan. Lantas, pintu bilik kembali ditutup dengan hanya ditolak menggunakan kaki. Dengan kasar dia menarik beg pakaiannya yang beroda. Menuju ke arah katil kosong bersebelahan Fida.Fida yang tadi tersenyum mengendurkan kembali senyumannya.

“Sombong.” Fida berkata dalam hati.

Tiada mood mahu bersuai kenal dengan rakan sebiliknya itu, Fida mengambil tualanya untuk mandi. Selepas melakukan solat jamak, dia mahu bersiap kerana menurut aturcara majlis, mereka diminta berkumpul di pantai berhadapan hotel untuk aktiviti yang bakal bermula.

Selesai solat, Fida menerima panggilan daripada angahnya. Dia telah memaklumkan kepada angahnya tentang keberadaan dia di Pulau Pangkor. Angahnya juga mengkhabarkan yang kakak iparnya telah selamat melahirkan anak lelaki. Seronok betul angah bercerita.  Tergambar keterujaan Farid buat pertama kali bergelar bapa. Fida hanya mampu mengucapkan tahniah kepada Farid.

Dua minggu lalu, dia ada berjumpa dengan Farid apabila Farid turun ke Kuala Lumpur. Jarak antara mereka yang jauh menyukarkan Fida bertemu Farid selalu. Farid masih tinggal di Johor. Malah dia juga belum berkesempatan bertemu dengan kakak iparnya. Hanya nama saja yang meniti di bibir angahnya. Setelah beberapa minit bersembang, Angah menamatkan panggilan kerana mahu melihat keadaan kakak iparnya. Ucapan syukur dipanjatkan kerana Allah menambah lagi seorang ahli baru dalam keluarganya.
…………………………………………………………………………

Aktiviti barbeque pantai sudah berakhir sebentar tadi. Seronok sungguh staf bersembang dan bergurau senda antara satu sama lain. Keletah anak-anak kakitangan syarikat turut menggelikan hati. Pelbagai ragam dapat dilihat. sepasang pengantin baru yang turut serta tidak terlepas dari menjadi bahan usikan. Merah muka pengantin baru yang kedua-duanya dari Jabatan Pemasaran itu diusik oleh rakan-rakan mereka.

Fida yang tadi bergelak ketawa bersama Meetha, Swee Tin dan Mukhlis kembali ditinggalkan sendirian di tepi pantai yang diterangi lampu-lampu yang datang dari hotel. Meetha, Swee Tin dan Mukhlis sudah meminta diri untuk pulang ke bilik masing-masing. Kakitangan yang lain juga sudah meninggalkan pantai. Jauh sedikit dari tempat dia bersantai, urusetia yang ditugaskan menguruskan barbeque ini sudah mahu pulang ke hotel selepas mendapati pekerja hotel sudah mengambil alih tugas mengemas kawasan barbeque itu.

Dia sengaja tidak mahu pulang ke bilik hotel. Terasa hati dan geram dengan kata-kata yang keluar dari mulut Aisya sebaik dia menamatkan panggilan telefon tadi. Tidak tahu apa masalah Aisya padanya, tidak semena-mena Aisya menyindir Fida. Katanya Fida kaki kikis. Sengaja menyendeng Ilham kerana gilakan harta. Fida yang panas hati terus bertanya apa masalah Aisya. Mereka belum pernah berjumpa pun sebelum ni. Bagaimana Aisya boleh berkata begitu? Dia tidak tahu mana silapnya, tega Aisya menuduhnya.

Tidak mahu tangannya naik ke muka perempuan itu, terus Fida keluar dari bilik. Semasa barbeque, hatinya sedikit terubat melihat gelagat staf syarikat serta gelak ketawa bersama rakan-rakannya. Seketika dia lupa berkenaan peristiwa antara dia dan Aisya sebentar tadi. Dia pun tidak nampak kelibat Aisya sepanjang majlis barbeque berlangsung. lebih baik begitu. Dia risau dia akan bertegang urat pula dihadapan staf lain jika Aisya ada sama.

Lautan luas yang kelam dek kegelapan malam dipandang sepi. mengingati peristiwa serta kekesalan dahulu yang tidak pernah meninggalkan dirinya. berseorangan begitu mudah saja membuatkan hatinya sayu. air mata yang menitis dibiarkan membasahi pipi.

Thursday, 12 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 10(e-novel)


Hari yang ditunggu-tunggu pekerja Lavenda Group Sdn. Bhd tiba juga. Hari keluarga yang diadakan sekali setiap tahun ini bakal diadakan dia di Pulau Pangkor pada kali ini. Semasa hari keluarga inilah pekerja-pekerja dapat mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan keluarga disamping menenangkan minda dari memikirkan soal kerja yang tidak pernah habis.

Untuk membawa para pekerja serta ahli keluarga masing-masing, pihak syarikat telah menyewa tiga buah bas memandangkan ada antara pekerja yang telah bertolak terlebih dahulu untuk menguruskan keadaan di sana. Satu persatu bas yang sudah dipenuhi  dengan kakitangan syarikat bertolak menuju ke Lumut sebelum menaiki feri untuk ke Pulau Pangkor.

Fida sudah nekad mahu menaiki bas bersama Meetha walaupun namanya sudah digugurkan dari senarai penumpang bas. Nampaknya, rancangannya bakal berjalan dengan lancar kerana selepas bas ke dua sudah bertolak, Fida masih belum melihat kelibat En. Ilham. Ilham meminta Fida menunggunya di lobi syarikat sehingga dia tiba. Dia mahu Fida pergi ke Lumut menaiki kereta bersamanya.

Sebaik nama bagi penumpang bas ke tiga diumumkan, masing-masing mula menaiki bas. Senyuman di wajah Fida semakin melebar. Dia yakin dia pasti sempat menaiki bas bersama Meetha sebelum kedatangan Ilham. Sebaik sahaja melangkah menaiki perut bas, kedengaran namanya dipanggil dari belakang. Senyuman yang tadi menguntum kembali kendur. Ilham sudah berada di belakangnya sambil mencekak pinggang.

 Lelaki yang segak memakai t-shirt polo bersama jeans dan berkaca mata hitam itu dipandang hampa. Meetha yang melihat raut wajah sahabatnya daripada senyum keriangan bertukar hampa tergelak perlahan tanpa dikawal.

Fida kembali turun dari bas walaupun tidak mendapat arahan daripada Ilham. Faham benar dengan lenggok badan yang ditunjukkan Ilham.  Jelas terpamer riak hampa di muka Fida. Beg pakaiannya ditarik perlahan menuju ke arah kereta mewah yang terparking elok di depan pintu masuk syarikat. Sebaik Fida melepasi Ilham, Ilham mengikut di belakang Fida sebelum membuka bonet untuk menyimpan beg. Tanpa suara juga Fida masuk di sebelah tempat duduk penumpang.

“Saya cakap apa pada awak? Susah sangat ke awak nak faham arahan saya?” Ilham bersuara setelah hampir setengah jam di dalam kereta. Saat ini, mereka baru sahaja melepasi Restoran Jejantas Sungai Buluh.
“Saya, nak naik bas dengan dorang. Naik bas ramai-ramai seronok encik.” Fida bercakap perlahan sambil bermain-main dengan hujung blaus yang dipakainya. Walaupun perlahan, suara Fida masih dapat didengari dengan jelas oleh Ilham.

“Maksud awak, naik dengan saya ni tak seronok lah ye? Awak secretary saya. Jadi awak kena dengar arahan saya. Sekali lagi awak ingkari arahan saya, siap awak.” Ilham memberikan amaran. Dahinya dipegang perlahan. Sakit kepala sudah mula terasa kembali. Cermin mata hitam yang dia pakai sedikit sebanyak membantu menyembunyikan ekspresi wajahnya daripada Fida.

Hari ini dia terlambat bangun. Sebetulnya, dia baru sahaja tiba di rumahnya pada jam 2.30 pagi tadi dari Sabah. Dia pergi meninjau pembinaan resort baru syarikatnya yang dikatakan mempunyai masalah. Dia mahu melihat sendiri masalah yang dihadapi memandangkan pembinaan resort itu sudah terlewat dari tarikh perancangan asalnya.

Ilham yang tidur kembali selepas menunaikan solat subuh langsung terlupa tentang hari keluarga syarikatnya pada hari ini. Sedar-sedar saja jarum jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Itupun nasib baik dikejutkan oleh ibu tirinya. Dengan pantas dia mandi tanpa menghiraukan sakit kepala yang menyerang. Nasib baik masih ada baju yang belum digunakan di dalam beg yang dibawanya semasa ke Sabah. Terus sahaja dia bertolak untuk mengambil Fida.

Fida hanya mencebik menerima amaran dari Ilham. Malas mahu bertekak lagi, pandangannya dihala keluar. Memerhati pemandangan di luar lebih baik dari memandang lelaki disebelahnya.

Setelah berapa jam memandu, mereka tiba di Hentian Tapah. Perut Ilham yang berkeroncong perlu diisi. Jika tidak, pasti gastriknya menyerang lagi. Ilham memilih untuk menjamah nasi ayam manakala Fida hanya menjamah kuih pau berinti kaya. Fida masih kenyang kerana tadi dia sudah menjamah makanan yang disediakan pihak pengurusan sebelum mereka bertolak.

Selesai menjamu selera, Ilham dan Fida bergerak ke surau untuk menunaikan solat jamak memandangkan waktu sudah pukul 3.00 petang. Tadi semasa sedang makan, bas-bas yang membawa kakitangan juga baru tiba di hentian ini. Tidak senang Ilham menjamah makanan. Sebaik mahu memasukkan makanan ke dalam mulut, ada sahaja yang menegur mereka berdua. Ilham melemparkan senyuman dan bersembang serba sedikit dengan mereka. Fida pula berbual sebentar bersama Meetha sebelum diajak Ilham untuk bersolat.

Selesai sahaja solat, mereka  menyambung perjalanan mereka menuju ke Lumut. Semasa makan tadi, Fida terperasankan muka Ilham yang kelihatan pucat. Sebaik mahu menegur, kakitangan syarikat terlebih dahulu menegur mereka. Akhirnya, langsung dia lupa untuk bertanya.

“Bos, bos ok tak ni? Saya tengok muka bos pucat je. Bos sakit ke?” Fida bertanya sebaik teringatkan tentang pertanyaan yang lupa diutarakan sebentar tadi. Baru terperasan yang tangan Ilham sesekali memicit perlahan dahinya.

“Tak ada lah. saya pening sikit je. Sekejap lagi ok la ni. Lagipun saya dah telan panadol tadi.” Ilham berkata. Sebenarnya itu hanya alasan untuk mengelakkan Fida bertanya lebih lanjut. Ilham memang tidak suka makan ubat sejak dari kecil lagi. Jika dia diserang apa-apa penyakit seperti demam atau gastrik, seboleh mungkin dia akan berahsia tentang sakitnya. Semasa mamanya masih ada dulu, pasti mamanya akan memaksa dia menelan ubat-ubatan. Malah papa dan orang gajinya pun tidak mampu memaksa Ilham menelan ubatan.

“Bila masa dia telan panadol? Aku tak nampak pun tadi.” Fida bermonolog di dalam hati.

“Bos boleh drive ke tak? Kalau tak boleh biar saya bawa.” Fida menawarkan diri untuk memandu. Sebelum berangkat ke Jepun dulu, dia sudah memperolehi lessen memandu. Namun, sebaik bekerja di Kuala Lumpur dia belum membeli kereta. Risau mahu memandu dalam hiruk pikuk kota. Tapi, bila dah sampai kawasan ini dia mampu memandu kerana kereta tidaklah begitu banyak seperti di KL dan jalannya juga tidak berserabut.

“Takpe, saya mampu drive lagi.” Ilham menolak pelawaan Fida. Biarlah, pening sikit je pun.

“Keras kepala. Orang nak tolong pun tak nak. Takutlah tu aku jahanamkan kereta mahal dia.” Fida berprasangka buruk. Tapi kata-kata itu tidak terluah dari bibir. Jika Ilham dengar, pasti perang mulut akan kembali meletus antara mereka.

Kebosanan melanda lagi. Apabila tiada suara yang keluar hanya bertemankan dj radio, siapa-siapa pun akan bosan. dia mengeluarkan majalah i-sihat yang dibeli di Hentian Tapah tadi. Dibaca tajuk-tajuk rencana di dalam majalah. Tiada mood untuk membaca rencana yang berkisarkan tentang kesihatan itu.

Ilham di kanan dijeling sekali-sekala. Selang beberapa minit lelaki disebelahnya itu menguap. Mata Ilham masih fokus ke hadapan, mengemudi kereta dengan tenang.

“Bos, nak tanya sikit boleh? Kenapa bos memandu sendiri pergi mana-mana? Bos tak ada driver ke?” belum Ilham mengatakan persetujuan terus Fida menanyakan soalan yang seterusnya. Sekadar mahu mengurangkan kantuk dan kebosanan yang melanda. Jika dia memandu sendiri, dia mahu orang bercakap dengannya. Dengan cara itu, dia akan kurang mengantuk. Dia fikir Ilham pun mungkin akan kurang mengantuk jika menggunakan cara yang sama.

“Saya ada driver. Tapi saya suruh dia bawa ibu tiri saya. Driver ibu tiri saya masuk wad. Lagipun saya suka drive sendiri.” Ilham membalas. Elok juga andai dapat bersembang begitu dengan Fida.

“Bos ada ibu tiri? Tak tahu pula saya.” Fida bercakap perlahan. 

Walaupun sudah sebulan dia menjadi setiausaha kepada Ilham, banyak benda yang dia tidak tahu mengenai lelaki itu. yang dia tahu, ibu dan bapa Ilham telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Tentang isteri Ilham pun lelaki itu tidak pernah bersuara. Selama ini, hanya Meetha yang bercerita kepadanya mengenai keluarga Ilham tetapi bukanlah semua perihal lelaki itu dicanangkan kepada Fida.

"Awak tak tahu apa-apa pasal saya Fida." ayat itu hanya bermain di dalam hati Ilham.

“Hmm, ada. Papa saya kahwin dengan ibu tiri saya masa saya berumur 10 tahun. Arwah mama saya baik dengan ibu tiri saya. Walaupun papa saya berharta, ibu tiri saya tidak pernah mengambil kesempatan. Dia terima seadanya apa yang telah dia perolehi. Saya mula rapat dengan dia pun sejak arwah orang tua saya meninggal. Dia sekarang tinggal di Kuala Terengganu. dekat dengan keluarga katanya. Ada juga sesekali saya pergi melawatnya. kadang-kadang, dia yang akan turun tengok saya di KL.” Ilham bercerita mengenai Pn. Rahmah, ibu tirinya.

“Owh.” Hanya satu perkataan yang keluar dari mulut Fida. tidak tahu bagaimana reaksi yang harus diberi.

“Awak pula asal dari mana? Parent awak ada lagi?” Ilham pula bersuara. Ingin menduga ingatan Fida kepada keluarganya. Ingatkah lagi Fida kepada lelaki tua yang saban waktu menunggu kepulangan anaknya?
 
Serasa dia juga tahu banyak perkara berkenaan keluarga Fida. setiap tahun semasa hari raya dan jika berkesempatan, Ilham pasti akan menjenguk ayah mentuanya. Setiap kali itu juga tidak putus-putus lelaki tua itu memohon maaf kepadanya atas ketelanjuran yang dilakukan anak perempuannya. Bersungguh-sungguh lelaki itu meminta agar Ilham tidak menceraikan anaknya. Katanya, anaknya itu masih mentah. Tidak pandai berfikir. Nanti sedikit masa, pasti anaknya akan pulang dan membina hidup bahagia bersama Ilham.

Walaupun Pak Idris itu garang menurut cerita anak lelakinya, tapi dia tahu Pak Idris sangat sayangkan anak-anaknya. Sanggup lakukan apa saja demi kebahagiaan kesemua anaknya walaupun kadang-kadang tindakannya itu kelihatan keras dan keterlaluan di mata orang lain.

Tapi sayang, pengorbanan seorang ayah langsung tidak dihargai oleh si anak. Walaupun sudah pulang ke tanah air hampir dua bulan, langsung dia tidak menjenguk ayahnya di kampung. Entah kah sihat atau tidak orang tua itu di kampung. Wajah tua Pak Idris terbayang di mata Idham. Rasa terkilan dengan sikap Fida menjentik tangkai hatinya.

Fida terkejut dengan pertanyaan Ilham. Tidak sangka lelaki itu akan bertanya berkenaan keluarganya. Tiba-tiba dia terasa sebak mengingati ayahnya. Namun segera dia menutup perasaannya. Risau disedari Ilham.

“saya asal dari Perak. Semanggol. Ibu saya dah meninggal. Tinggal ayah saya saja.” Fida menjawab juga pertanyaan Ilham. Ringkas sahaja.

“Kawasan kampung ke? Saya dengar tinggal di kampung best. Tenang. Nanti bila-bila awak bawa saya balik kampung awak. Teringin saya nak rasa suasana kampung.” Ilham meminta Fida membawanya pulang ke kampung.

Sekali lagi Fida tersentak mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Ilham. Dia sendiri sudah 3 tahun tidak pulang ke kampung. Masalahnya pun masih belum diselesaikan. Masakan dia pulang membawa Ilham ke kampungnya? Apa kata ayahnya dan penduduk kampung nanti bila dia pulang bersama lelaki lain ke kampung? Diakan masih isteri orang.

“Tak boleh lah macam tu Encik. Encik kan lelaki, saya ni perempuan. Nanti apa orang kampung kata. Lagipun, saya rasa suasana kampung tak sesuai dengan encik.” Fida mencari alasan untuk menolak permintaan lelaki itu. masalahnya belum selesai, ditambah pula dengan bala yang lain andai perkara itu terjadi.

“Bukan saya sorang. Nanti saya ajaklah dua tiga kawan saya ikut sekali. Orang kampung mesti tak cakap apa-apa kalau awak bawa kawan ramai-ramai kan.” Ilham memberikan cadangan. Perasaan Fida terus diduga. Sesekali dia memberhentikan kereta apabila lampu isyarat bertukar merah sebaik keluar dari lebuhraya.

“Nanti-nanti lah encik. Lain kali kita bincang lain.” Fida sudah tidak punya modal untuk menolak permintaan Ilham. Untuk bercerita perkara sebenar memang tidak mungkin.

“ Biarlah. Nanti lama-lama lupalah dia nak ikut aku balik kampung. Dia pun sibuk orangnya. Tak ada masa nak bersuka ria ikut aku balik kampung.” telah Fida.

Suasana sepi kembali bertandang. Cuma sesekali Ilham bertanya dan Fida menjawab. Tiada lagi perbualan serius. Hanya berkisar tentang apa yang dilihat sepanjang perjalanan ke Lumut.

Beberapa jam kemudian, mereka tiba di Lumut. Ilham memilih untuk menaiki feri dari Marina Island memandangkan perjalanan feri lebih dekat berbanding jika menaiki feri dari jeti Lumut.

Selepas membeli tiket feri, Ilham dan Fida terus menaiki feri menuju Pulau Pangkor. Kali ini kelibat bas yang membawa kakitanga Lavenda Group masih belum kelihatan. 

Maaf Aku Pinta - Bab 9(e-novel)


“Meetha, I tak fahamlah. Kenapa aku tak boleh naik bas sekali dengan staf lain? I pun nak merasa berseronok dengan kakitangan dalam company ni. Best tau naik bas ramai-ramai. I tak faham lah dengan bos you yang you cakap baik sangat tu. Ke dia tak bagi I pergi Meetha?” Fida menghempas kasar punggungnya di atas sofa disebelah Meetha. 

Geram dengan tindakan Ilham sebentar tadi. Dengan tidak bertanya terlebih dahulu kepada Fida, Ilham telah mengeluarkan arahan agar nama Fida digugurkan dari senarai nama kakitangan yang akan menaiki bas ke Pulau Pangkor untuk menghadiri hari keluarga syarikat tiga hari lagi.

 Hari ini Meetha tumpang bermalam di rumah Fida kerana rakan serumah Meetha menghadiri kursus selama dua hari. Meetha yang takut tinggal berseorangan meminta untuk menumpang di rumah Fida selama dua malam. Terpaksalah Meetha mendengar segala ketidak puasan hatinya berkenaan Ilham malam ini.

Selama sebulan ini pun sudah lali Meetha mendengar luahan perasaan mengenai Ilham. Bos itulah, bos inilah. Dilayankan sahaja bebelan Fida. mengerti tahap tekanan yang dihadapi oleh gadis itu. bukan mudah mahu melayan kerenah bos pada masa yang sama menguruskan kerja asalnya berkenaan IT itu.

Meetha sebenarnya kagum dengan Fida kerana mampu menghadapi tekanan yang dihadapi. Kalau orang lain sudah lama mengambil keputusan untuk angkat kaki sahaja daripada company itu. tapi selama sebulan ini, Fida langsung tidak pernah menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

“Tak de lah. takkan pula dia tak bagi you pergi. You kan setiausaha dia sampai bulan depan.  Lagipun, dia cuma gugurkan nama you dari senarai kakitangan yang naik bas. Untuk penginapan dan makan tak pula dia gugurkan. Maknanya, you akan join la family day tu nanti. Tapi betul la, I hairan juga kenapa tiba-tiba je dia buat macam tu.” Meetha berkata. Jarinya diletakkan di dagu menampakkan seperti dia sedang berfikir.

“I rasa En. Ilham tu tak puas hati la dengan I. Sejak I jejakkan kaki ke syarikat tu, semua benda yang I buat tak kena di mata dia. Sampaikan position I dalam company tu pun dia nak kacau. Belum pernah lah I dengar ada orang senasib I ni. Daripada head department jadi secretary.” 

“Entah la Fida. Tapi, dah bertahun I jadi secretary kepada En. Ilham. Walaupun dia seorang yang perahsia berkenaan hal peribadi dia, jauh disudut hati I ni, I tahu dia baik orangnya. I yakin dengan En. Ilham. Sebab tu I tak banyak soal bila dia suruh I berpindah menggantikan Melly dan you ambil tempat I.” Meetha berkata.

Fida memikirkan tentang apa yang dikatakan Meetha. Ya, betul En. Ilham baik. Tapi bukan dengannya. Sehingga sekarang, dia masih belum boleh duduk semeja dengan Ilham tanpa ada pergaduhan dan masam muka diakhirnya.

“Lagi satu, Mak Esah cakap ada kakitangan company kita yang asyik bercerita pasal I dengan bos. Dorang bawak mulut cakap I dengan bos ada scandal. You ada dengar tak pasal ni?” Fida bertanya Meetha apabila teringatkan perbualannya bersama Mak Esah di pantry tadi.

“Apa tak dengarnya. Heboh la pasal hal ni. You saja yang lambat tahu. Tak mustahil lah gossip pasal hal you dengan bos keluar. Bos kan jejaka idaman Malaya.”  Geetha berkata sambil mengunyah ‘mister potato.’ Matanya beralih ke arah TV yang sedang memaparkan berita.

“What? Dah lama dorang bercakap? Kenapa you tak cakap dengan I?” Fida terkejut mendengar pengakuan Meetha.

“I tak nak tambah tension you. You ni dah la cepat panas. Sekejap melenting. Sekejap marah. Nanti you serang orang yang bercakap pasal you tu, I pulak yang susah. Terpaksa menjadi pendengar setia bebelan you.” Meetha menjawab pertanyaan Fida.

“Tapi kan I dengan bos macam anjing dengan kucing. I tak ngam dengan bos. Macam tu pun dorang nak cakap I ada skandal dengan bos ke? Tak logik betul.” Fida tidak berpuas hati apabila dirinya dikatakan berskandal dengan bos sendiri.

Meetha yang masih belum berhenti mengunyah menjawab, “Itu kata you. Budak-budak ofis bukan tahu pun you hari-hari berperang dengan bos. Yang dorang nampak, bos tak pernah layan perempuan lain macam dia layan you. I pun dia tak pernah nak bawa lunch hari-hari macam dia bawa you.”

“Mana ada hari-hari I lunch dengan dia. Sekali-sekala saja lah. itupun dia paksa I. siap ugut-ugut lagi. Dan macam biasalah, selalu I yang kalah. Tapi kan, seingat I lah dalam sebulan ni boleh dibilang berapa hari je dia ada kat ofis. Dia selalu outstation. Macam mana pula boleh timbul hal I dengan dia?”

Tak faham dengan mulut manusia. Suka mengatakan sesuatu yang tidak pasti tentang kesahihannya. Hal kecil sengaja dibesar-besarkan untuk menyedapkan cerita.

“Entah-entah, bos suka you tak Fida. sebab tu dia suka cari pasal dengan you untuk tarik perhatian you” Meetha mengutarakan apa yang selama ini difikirkan dibenaknya.

“Isy you ni. Jangan nak tambah gossip lagi ye. You juga yang cakap dulu bos tu dah kahwin. Dan sebagai lelaki yang you cakap ‘baik’ sangat tu, takkan lah dia nak menduakan isteri dia.” Fida segera menolak kemungkinan itu. tidak mahu dituduh mempunyai hubungan dengan suami orang. Dia juga sentiasa beringat tentang statusnya sebagai isteri walaupun tidak mengenali suaminya.

“I cakap je. You tak payah la nak gelabah sangat. Tapi kalau ya pun apa salahnya.” Meetha ketawa lalu segera bangun mahu menjauhkan diri dari Fida. terlebih dahulu dapat mengagak reaksi yang bakal ditunjukkan Fida. Dengan pantas Fida mengambil bantal kecil dan membaling Meetha yang sudah menghilangkan diri disebalik pintu bilik.

Meetha yang terus menguncikan pintu bilik tergelak kuat apabila balingan Fida tadi tidak menepati sasaran.

Maaf Aku Pinta - Bab 8(e-novel)


Hari ke tujuh Fida menjadi setiausaha kepada Ilham. Dia sudah semakin mahir menjalankan tugas-tugsas setiausaha walapun tidak secara keseluruhannya. Tunjuk ajar daripada Meetha benar-benar membantu.

Baru seminggu berlalu sejak dia diminta menjadi setiausah Ilham tetapi dirasakan sudah setahun. Dia terasa lelah melayan kerenah Ilham serta kerja-kerjanya di Jabatan IT. Walaupun kebanyakan tugas diuruskan oleh pembantunya, namun, ada antara tugasan tersebut yang perlu diselesaikan oleh dirinya sendiri.

Dia masih tidak sebulu dengan bosnya itu. ada sahaja cara untuk bosnya itu untuk menyusahkannya. Semalam disuruhnya menaip dokumen setebal 100 muka surat dan perlu diserahkan pagi tadi. Jika tugasnya semalam hanya menaip dia mampu lagi bersabar tapi yang paling dia geram, sudahlah perlu menghadiri mesyuarat ketua jabatan yang dikelolakan En. Ilham, tetapi dia juga disuruh menyediakan air untuk semua ketua jabatan dalam mesyuarat tersebut.

Masuk sahaja ke bilik mesyuarat dengan menatang dulang berisi air, semua ketua jabatan melihatnya dengan pandangan yang pelik. Tanpa menghiraukan pandangan semua kepadanya, dia terus meletakkan dulang itu di atas meja dan tugas-tugas menuang air ke dalam gelas diambil oleh Suzy pula.

“I tak tahu pula you dah jadi tea lady.” Pn. Jannah berbisik di telinga Fida sebaik Fida melabuhkan punggung disebelahnya. En. Ilham sedang meneliti dokumen di hadapannya sebelum memulakan mesyuarat.

“Entah, tak tahu lah apa nasib I. Orang selalu kalau kerja pangkat makin naik. I ni pulak makin turun pangkat.” Fida bersuara perlahan. Seketika kemudian dia mengeluh.

Tergelak Pn. Jannah mendengar jawapan dari mulut Fida. Sepanjang dia bekerja di sini, tidak pernah En. Ilham berperangai begitu. Mendera dan menyuruh pekerjanya melakukan sesuatu di luar lingkup kerjanya. Tapi dengan Fida berlainan sekali. Dia tidak dapat menelah niat sebenar Ilham berbuat begitu kepada Fida.

“You sabar ye. Nanti-nanti bila mood bos da ok, you akan kembali kerja seperti asal. Sekarang ni you ikut je apa yang dia suruh dulu selagi apa yang dia suruh tu tak memudaratkan you. Yang penting, you jangan cari pasal dengan dia. Nanti makin teruk pulak.” Pn. Jannah memberikan nasihat.

“Insyallah, selagi I boleh sabar I akan cuba bersabar. You jangan risau.” Fida berkata dalam masa yang sama cuba menyedapkan hatinya juga.

Mesyuarat ketua jabatan bermula dengan agenda utamanya untuk berbincang berkenaan hari keluarga yang bakal diadakan bulan hadapan di Pulau Pangkor.
…………………………………………

“Fida, dokumen yang I suruh taip dah siap ke belum?” Fida tersentak mendengar suara Ilham dihadapan pintu biliknya.

“belum, eh dah bos.” Fida kalut sekejap apabila Ilham membuatkan lamunannya tersentak. Dia yang tadi duduk secara automatik berdiri.

“dah ke belum? Yang mana satu awak ni?” Ilham kehairanan melihat Fida.

“Dah, dah.” Kelam kabut tangan Fida mengambil dokumen yang sudah di’binding’kan itu.
Ini tak lain tak bukan mengelamun la tu. Ilham menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Bawak masuk dokumen tu dalam bilik saya.” Ilham memberikan arahan lantas memasuki biliknya semula.
Fida pantas mengikut bosnya dari belakang dengan membawa dokumen yang diminta. Tiba-tiba Ilham berhenti. Dia mahu berkata sesuatu kepada Fida. Sebaik dia memusingkan badan, dengan tidak semena-mena Fida melanggar dada bidang Ilham. Terkebelakang Ilham disebabkan rempuhan kuat itu. Segera dia memaut bucu meja dari mengelakkan mereka berdua terjatuh.

Nasib baik hanya dokumen yang dipegang Fida jatuh ke lantai. Jika salah seorang atau kedua-dua mereka jatuh sekali, mahu malu seumur hidup dibuatnya.

“Awak ni kenapa Fida? Saya yang besar macam ni pun awak nak langgar. Mengelamun je kerja awak!” Ilham menggosok-gosok sedikit dadanya yang terkena kepala Fida.

“Maaf bos. Tak sengaja. Bos pun berhenti tiba-tiba kenapa. Tak sempat saya nak brek.” Fida tidak mahu kalah. Kalau Ilham sakit, dia pun sakit juga. Tapi tak lah sakit sangat, mungkin kepalanya lagi keras kot dari dada Ilham.

“Menjawab! Awak ni kalau tak menjawab sehari tak boleh ke? Saya ni bos awak tau.” Muka Ilham memerah. Marah barangkali.

Fida yang takut melihat reaksi dari Ilham menunduk. Dalam hati dia menyumpah tindakan Ilham yang marahkannya.

“Sudah, sudah. Awak call Pn. Ainon cakap saya mahu jumpa dengan dia sekarang. Suruh dia bawak sekali fail pasal hari keluarga tu. Saya nak buat pindaan sedikit.” Ilham memberikan arahan.

“Baik bos.” Fida berkata dan ingin keluar. Dokumen yang terjatuh tadi di bawanya bersama.

“Awak nak bawa dokumen tu pergi mana? Letak kat atas meja saya.” Ilham berkata apabila melihat tiada tanda-tanda Fida mahu meninggalkan dokumen yang diminta tadi di atas meja.

Fida ketap bibir. Marahkan diri sendiri atas kealpaannya. Dokumen diletakkan dan Fida keluar meninggalkan bilik Ilham untuk menghubungi Pn. Ainon.

Sebaik pintu biliknya ditutup, Ilham tersenyum. Dadanya yang tadi sakit terkena kepala Fida dipegang lagi. Kali ini, rasa sakit itu sudah bertukar. Dia dapat merasakan degupan jantungnya yang laju. Adakah ini cinta?

Maaf Aku Pinta - Bab 7(e-novel)


Malam itu, Ilham tidak dapat tidur. Kali pertama bertentang mata dengan perempuan yang sah menjadi isterinya tiga tahun lalu sungguh menyesakkan jiwanya. Walaupun tindakan perempuan itu meninggalkan majlis pernikahannya sangat memberi kesan kepada diri serta keluarganya, dia tidak dapat menafikan perasaannya kepada Fida yang disedari mula bercambah beberapa bulan selepas mereka bernikah.
Ternyata, suruhan ibunya untuk menjejaki Fida di Jepun telah mengubah sedikit persepsi negatifnya sebelum ini terhadap Fida.

Ilham mendapat maklumat tentang tempat tinggal isterinya daripada abang iparnya, Farid. Puas dia memujuk Farid untuk memberikan maklumat berkenaan Fida. Pada mulanya Farid tidak mahu memberikan kerjasama. Namun, melihatkan kesungguhan yang ditunjukkan Ilham, dia bersetuju untuk membantu dengan syarat, bantuan yang diberikan tidak dibocorkan kepada sesiapa. Farid tidak mahu Fida marah kepadanya
.
Sejurus tiba di bumi matahari terbit, dia terus diambil oleh orang yang telah diupah untuk membantunya sepanjang dia berada di Jepun. Dari Tokyo, dia bergerak menuju ke Ibaraki, tempat di mana Fida sedang belajar. Dengan bantuan pembantunya di Jepun, dia berjaya menyewa sebuah rumah betul –betul bertentangan dengan apartment yang disewa Fida.

Dari situ, dia memerhatikan gerak geri Fida setiap hari sepanjang dua minggu di sana. Sengaja dia tidak mahu berjumpa dengan Fida pada masa itu. Niatnya cuma mahu memerhatikan perwatakan dan cara pembawakan diri seorang wanita yang sudah bergelar isterinya.

Suatu hari, sewaktu Fida baru pulang dari kelas yang dihadiri, kebetulan Ilham berada di kedai runcit berdekatan rumah sewanya. Sebaik terlihatkan kelibat Fida, Ilham melangkah keluar dari kedai untuk memerhati Fida dengan lebih dekat.

 Dengan tidak semena-mena, seorang budak berlari ke tengah jalan tanpa menyedari ada kereta di hadapan. Fida yang melihat keadaan itu tanpa berfikir panjang terus menolak budak itu ke tepi jalan dengan niat menyelamatkan budak lelaki itu daripada dilanggar. Malang tidak berbau, Fida pula menjadi mangsa apabila kereta itu menghentam tubuh Fida.

Terasa mahu tercabut nyawa Ilham. berlari dia mendapatkan Fida yang berlumuran darah. Tudung yang dipakai Fida sudah bertukar warna merah. Matanya perlahan-lahan tertutup. Melihatkan Fida sudah tidak menyedarkan diri, Ilham cemas. Segera dia mengendong Fida untuk dibawa ke hospital berdekatan. Dua hari Fida tidak sedarkan diri. Dan sepanjang waktu itulah Ilham sering menemaninya. Apabila beberapa kawan Fida datang melawat, segera dia menyembunyikan diri. Risau identiti dirinya terdedah.

Dia tidak putus-putus berdoa agar Allah tidak mengambil nyawa Fida. Wanita yang telah berjaya mengusik tangkai hatinya walaupun wanita itu langsung tidak mengenali dirinya. Ilham yakin, Fidalah hawanya. Hawa pelengkap rusuk kirinya.

Sebaik Fida sedarkan diri, tidak sudah-sudah dia mengucapkan syukur kerana mengabulkan permintaannya.  Dia kembali memerhatikan Fida dari jauh. Perkembangan kesihatan Fida dia ketahui dari doktor yang melawat Fida dengan bantuan pembantunya di sini.

Namun, musibah sekali lagi melanda Ilham. Semasa masih berada di Jepun, dia mendapat panggilan yang betul-betul meruntun jiwa. Kedua orang tuanya telah kembali ke rahmatullah kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya sewaktu ayahnya mengambil ibunya dari hospital selepas selesai ibunya menjalani rawatan kimoterapi.

Akibat dari kematian kedua orang tuanya, dia terpaksa memikul tugas berat untuk menguruskan perniagaan ayahnya dalam usia muda. Tambahan pula, ayahnya tidak mempunyai anak bersama isteri keduanya, Pn. Rahmah. Walaupun Pn. Rahmah merupakan ibu tiri kepada Ilham, namun Pn. Rahmah melayan Ilham seperti anaknya sendiri.

Dalam tempoh masa dia bertatih meneruskan legasi perniagaan ayahnya, dia langsung tidak punya masa untuk memikirkan tentang dirinya. Buat seketika, dia terpaksa melupakan Fida. Namun, dia masih tahu tanggungjawabnya. Setiap bulan, dia akan memasukkan duit untuk kegunaan isterinya itu. dia juga meminta Farid agar mengatakan kepada Fida bahawa duit itu adalah dari Farid sendiri. Biarlah mereka tidak berjumpa sekarang. Apabila tiba masanya, semua permasalahan mereka pasti dapat dirungkai dengan sebaiknya.

Maaf Aku Pinta - Bab 6(e-novel)


“Fida, En. Ilham nak jumpa you dibiliknya sekarang.” Meetha menghubungi Fida setelah mendapat arahan daripada bosnya.

“Baiklah Meetha. Thanks.” Fida terasa gugup mahu berjumpa dengan orang yang paling penting dalam syarikat. Dia melangkah pantas menuju ke bilik Pengarah Urusan. Dihadapan pintu bilik yang jelas tertera nama En. Ilham Farish Dato’ Azman, dia melepaskan nafasnya. Kemudian, dia mengetuk perlahan sebelum menerima arahan masuk dari dalam.

Sebaik melangkah memasuki bilik yang dua kali ganda luas dari biliknya, dia ternampak seorang lelaki bercermin mata dan berkot sedang menunjukkan wajah meneliti dokumen dihadapannya. Serius sahaja muka lelaki itu. setelah itu, Fida dipersilakan duduk. Namun, lelaki itu masih belum mengangkat wajah. Sibuk benar lagaknya.

Beberapa saat kemudian, setelah lelaki itu menurunkan tandatangan di penjuru hujung dokumen dihadapannya, barulah lelaki itu mengangkat muka memandang Fida. Masih dengan riak serius di wajahnya.
Fida terasa cuak. Lelaki itu langsung tidak melemparkan senyuman walaupun dia terlebih dahulu sudah menghadiahkan senyuman.

“Awak, Fida Antasya binti Idris kan?” En. Ilham bertanya. Muka Fida dipandang tajam. Sengaja mahu menduga riak Fida. Bukan dia tak tahu di hadapannya siapa. Wanita yang dirinduinya saban malam. Isteri yang tidak pernah mengenali suaminya.

Fida menelan liur. “Ya Encik. Saya Fida.” Fida bersuara gugup. Setelah beberapa minit di hadapan lelaki itu, dia masih resah. Tidak dapat membaca makna disebalik pandangan yang diberikan oleh lelaki dihadapannya. Sekilas dia memerhati wajah En. Ilham sebelum kembali menunduk. Dalam diam Fida mengakui ketampanan lelaki dihadapannya. Betul seperti yang dikatakan oleh pekerja syarikat.

“Ok Fida, saya tak suka nak berkias-kias. Awak sekarang IT Project Manager merangkap ketua jabatan Teknologi Maklumat kan?” Ilham bertanya.

Fida sekadar mengangguk.

“Mulai hari ini, saya nak awak jadi secretary saya.” Ilham berkata. Dalam diam dia memerhati raut wajah wanita dihadapannya yang jelas berubah.

“What? Mana boleh macam tu encik. Macam mana dengan kerja saya?” Terkejut bukan kepalang Fida mendengarnya.

“Awak tetap akan jadi ketua Jabatan Teknologi Maklumat tapi kerja awak akan diselesaikan oleh pembantu awak.  Saya nak awak jadi secretary saya selama dua bulan dan selepas itu, awak boleh kembali kepada kerja asal awak.” Ilham yang ingin ketawa melihat reaksi Fida segera menutup tawanya. Risau arahannya bakal kedengaran tidak meyakinkan kepada Fida.

“Encik tak boleh buat saya macam ni. Saya tak pandai jadi secretary. Itu bukan bidang tugas saya. Lagipun, kalau saya jadi secretary encik, Meetha macam mana?” Fida cuba membantah lagi.

“Kamu jangan risau pasal tu. Saya dah aturkan. Meetha akan jadi secretary kepada En. Zulkifli selama dua bulan ni memandangkan secretary En. Zul sedang cuti bersalin. Berkenaan tugas secretary, apa yang awak tak tahu awak boleh tanya Meetha. Saya dah arahkan dia untuk membantu awak.” Yakin sekali Ilham bersuara.

“Tapi encik..” Fida ingin membantah lagi sebelum dipotong oleh Ilham.

“Tak ada tapi tapi. Ini adalah arahan. Dan mungkin awak nak saya ingatkan pada awak sekali lagi tentang perjanjian syarikat yang awak telah tandatangani? Awak perlu sentiasa mengikut arahan yang dikeluarkan oleh saya dari masa ke semasa. Pasal gaji awak jangan risau, awak tetap akan dapat gaji seperti jawatan awak sekarang.” Arahan Ilham sudah muktamad. Dia langsung tidak memberikan peluang kepada Fida untuk bersuara.

“Awak boleh pindahkan barang awak ke meja Meetha sekarang juga.  Dan tugasan pertama awak, ikut saya jumpa client masa lunch nanti. sekarang awak boleh keluar.” Ilham memberi isyarat kepada Fida agar meninggalkan biliknya. Dia kembali menumpukan perhatian kepada dokumen yang berada di hadapannya.

Fida yang sebal dengan arahan yang dikeluarkan terus bangun meninggalkan bilik Ilham. Mukanya kelihatan tegang sekali. Terus langkahnya menuju ke bilik kerjanya untuk mengambil barang yang patut selepas mendapati Meetha tidak ada di ruangannya.

Ilham memulakan misinya. Misi untuk menawan hati Fida sebelum Fida mengetahui siapa dirinya yang sebenar. Dia mahu membuka mata Fida. Membuatkan Fida menyesal mengambil keputusan melarikan diri dulu tanpa langsung memberi peluang untuk mereka cuba membina bahagia bersama.
...................................................................

BMW 630i berwarna hitam berhenti betul dihadapannya. Sebaik si pemandu menurunkan tingkap, kelihatan Ilham yang segak berkaca mata hitam memberikan isyarat untuk Fida memasuki perut kereta. Sebaik Fida duduk di tempat duduk penumpang, Ilham menekan pedal minyak untuk ke tempat yang ingin dituju.

Medan selera KLCC yang dipenuhi pelbagai manusia berlainan kaum baik yang sedang menjamu selera mahupun melakukan hal masing-masing diamati sekilas. Fida tidak nampak kesesuaian bertemu dengan client di kawasan food court yang ramai dengan orang ini ditambah pula sewaktu makan tengah hari.  Ilham dihadapannya masih menayangkan muka selamba. Masih berselera menjamah Yee Mee dihadapannya.

“Encik, mana client yang encik cakap kita nak jumpa tu?” Fida bersuara sebaik saja selesai menjamah makanan. Reaksi dari lelaki yang memakai kemeja berwarna merah darah dengan lengan kemejanya disinting sehingga paras siku itu ditunggu.

“Tak datang.” Selamba saja Ilham bertutur sambil mengelap mulutnya dengan tisu.

Rahang Fida sudah jatuh. “Apa maksud encik dengan tak datang? Kalau tak datang kenapa kita ada kat sini?” Fida bertanya.

“Tak datang means tak datang la. Dorang dah cancelkan temujanji tu. Dan untuk soalan kedua awak, kita datang ke sini untuk makan. Dah waktu lunch kan.” Idham menayangkan sengihnya kepada Fida sambil jari telunjuknya diketuk-ketuk pada permukaan jam tangan.

Geram di hati Fida hanya tuhan yang tahu. Hari ini saja, lelaki itu sudah berjaya menaikkan kemarahannya sehingga tahap boleh bertukar jadi Hulk. Dia tak dapat bayangkan hidupnya selama dua bulan sebagai setiausaha kepada lelaki itu. memang silap besar pekerja syarikat itu memuji-muji peribadi En. Ilham. Mungkin saja En. Ilham berpura-pura baik di depan semua orang untuk menaikkan saham dirinya di mata kakitangan syarikat. Maklumlah, CEO syarikat. Sedikit sebanyak perlu pandai bermain politik untuk meraih kesetiaan daripada kakitangan.

Ilham menjeling sekilas Fida yang langsung tidak bersuara di sebelahnya. Marah betul Fida apabila mendapati dia ditipu. Mereka kini sudah berada di dalam kereta untuk pulang ke pejabat.

“Fida, awak marahkan saya ke? Saya tak tipu awak la. Betul tadi kita nak jumpa client tapi client cancel appointment kita last minute. Alang-alang dah sampai saya bawa lah awak makan terus. Lagipun saya lapar tadi.” Ilham cuba memujuk. Tapi nadanya masih dikawal supaya tidak kelihatan memujuk di hadapan Fida.

“Saya mana layak nak marah encik. Encik ni bos, saya kuli saja. Apa yang encik buat semua betul.” Ada nada menyindir keluar dari mulut Fida. Kalau diikutkan panas baran Fida, mahu sahaja dia menyembur lelaki disebelahnya ini. Sudahlah panas hati disebabkan peristiwa pagi tadi masih belum selesai. Ditambah pula dengan hal yang berlaku tengah hari tadi. Dia cuba menyabarkan hatinya sebaik mungkin mengenangkan lelaki itu adalah bosnya.

Ilham tersenyum. Berjaya dia membuatkan Fida kembali bercakap dengannya. Sungguh dia tidak betah jika Fida berdiam diri. Entah mengapa, dia suka apabila Fida marah-marah begitu.

 “Comel.” Telahnya di dalam hati.

“Apa yang comel?” Fida memandang bosnya dengan penuh kehairanan. Tiba-tiba saja terkeluar perkataan comel dari mulut Ilham.

“Eh, macam mana dia boleh dengar ni? Bukan aku cakap dalam hati ke tadi?” Ilham terkejut dengan pertanyaan Fida. Otaknya pantas berfikir untuk menutup ketelanjuran katanya sebentar tadi.

“Tak, kucing tu, macam kucing saya lah. Comel.” Mata Fida terarah mengikut jari yang ditunjukkan Ilham. Kebetulan mereka sedang berhenti disebabkan jalan yang sesak.

“Apa yang comelnya? Kucing kurap macam tu dikatakan comel? Isy, tak faham akulah dengan dia ni.” Fida sekadar berkata-kata di dalam hati. Malas mahu memanjangkan perbualan dengan bosnya itu. marahnya pun masih belum reda.

Maaf Aku Pinta - Bab 5(e-novel)


Pemandangan di bumi Malaysia yang sudah 3 tahun tidak dijejaki tidak sedikitpun melapangkan hatinya. Wajah ayah, along dan angah yang sentiasa dirindui saban waktu seperti berlegar-legar di ruang mata. Rindu kepada keluarganya tidak pernah sedikitpun surut malah semakin menebal. Ingin sahaja dia pulang ke kampung untuk berjumpa keluarganya dan memohon maaf kepada ayahnya, namun, dia belum bersedia. Dia tidak sanggup berhadapan dengan wajah kecewa ayahnya serta cacian yang bakal diterima akibat dari perbuatannya dulu.

Walaupun sudah 3 tahun dia tidak pulang ke kampung, dia masih mengetahui perkembangan keluarga dari angahnya. Kepada angah, dia meminta agar berjanji untuk tidak memberitahu kepada sesiapa pun yang mereka masih berhubung. Dan setelah 3 tahun, angahnya itu masih berpegang pada janji. Melalui email yang dihantar angahnya juga, dia mendapat tahu angahnya itu telah berkahwin dengan pilihan hatinya 2 tahun yang lalu. Sekarang, angahnya sedang menunggu kelahiran cahaya mata sulungnya. Manakala abang sulungnya, Fakhrul sudah dikurniakan 2 orang cahaya mata. Ayahnya yang sudah tua itu pula masih mampu untuk berkebun. Walaupun ditegah oleh along dan angah, bapanya yang keras kepala itu langsung tidak mempedulikan nasihat anaknya. Jauh disudut hatinya, dia merasa terkilan kerana terlepas banyak memori indah bagi diri dan keluarganya sepanjang 3 tahun ini.

Tentang statusnya sekarang, dia keliru. Sama ada dia masih bergelar seorang isteri ataupun tidak. Fida merasakan dialah satu-satunya orang di dalam dunia ini yang sudah berkahwin tapi langsung tidak mengenali suaminya bahkan nama suaminya pun. Dia ada bertanya kepada Farid sama ada dia masih bergelar seorang isteri beberapa bulan selepas peristiwa itu. Farid mengatakan, dia masih seorang isteri yang sah.
Tetapi, apabila Farid mahu menceritakan lebih lanjut berkenaan suaminya, dia langsung mencelah dan tidak mahu mendengar apa-apa. Suaminya itupun langsung tidak pernah datang untuk mencarinya. Jadi dia beranggapan, sebaiknya mereka meneruskan hidup seperti biasa sehingga tiba masanya nanti. Di mana, pada masa itu dia sudah betul-betul bersedia untuk merungkai permasalahan yang mereka hadapi serta memperoleh kekuatan untuk memohon maaf kepada semua orang.

Kini, Fida sudah berada di hadapan rumah teres dua tingkat seperti alamat yang tercatat di dalam kertas. Angahnya, Farid yang memberikan alamat itu kepada Fida. Katanya, pada hari Fida pulang ke Malaysia, angahnya itu terpaksa berangkat ke Singapura atas urusan kerja. Isteri angah pula dikatakan berada di kampungnya kerana sedang sarat mengandung. Apabila angah meminta untuk dia pulang ke kampung mereka di Perak, dia menolak dengan alasan belum bersedia.

Melangkah sahaja di dalam rumah teres dua tingkat itu, dia terpegun dengan hiasan dalaman rumah tersebut. Sungguh cantik dengan hiasan bercirikan moden kontemporari. Sungguh menepati citarasanya. Kata angah, rumah itu berdekatan dengan tempat kerjanya nanti. walaupun dia tidak meminta angah untuk mencarikan rumah kepadanya semasa mengkhabarkan tentang tawaran kerja yang diterimanya, angah dengan berbesar hati menawarkan diri untuk mencarikan rumah. Sungguh dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana dikurniakan abang sebaik angah.

Semasa dia sedang belajar di Jepun pun, angah tidak lupa memasukkan duit belanja setiap bulan kepadanya walaupun ditegah. Fida sebetulnya tidaklah memerlukan banyak duit semasa belajar dahulu memandangkan dia juga menerima biasiswa daripada kerajaan. Duit biasiswa itupun cukup untuk menampung dirinya. Tapi angah tetap berdegil. Angah kata jika dia tidak mahu menggunakan duit yang angah berikan setiap bulan, simpankan saja untuk kegunaan sewaktu kecemasan.

Fida yang sedang mengelamun tersentak apabila mendengar bunyi jam di dinding rumah. Dilihat waktu sudah menganjak pukul 6.00 petang. Tersedar yang dia belum menunaikan solat, dia membawa begnya naik ke tingkat dua rumah tersebut. Sebaik masuk ke dalam bilik utama, dia mengambil tuala dan pakaian di dalam beg sebelum melangkah ke bilik air untuk mandi sebelum bersolat.
…………………………………………………………………..

“Okey, saya kenalkan di sini our new IT Project Manager, Cik Fida Antasya binti Idris. Dia akan mengetuai IT Department menggantikan En. Zafuan.” Fida yang tadi duduk di salah satu kerusi dalam bilik mesyuarat itu berdiri sebaik Ketua Jabatan Sumber Manusia memperkenalkan dirinya. Dia tersenyum dan tertunduk sedikit melihat mata-mata yang sedang memandangnya. Sekarang ini, dia sedang diperkenalkan kepada semua ketua jabatan di syarikat itu dalam satu mesyuarat ringkas.

“Assalamualaikum, saya Fida Antasya. Saya harap anda semua sudi memberi tunjuk ajar dan kerjasama kepada saya.” Fida bersuara setelah diminta oleh Pn. Jannah, wanita yang telah memperkenalkan dirinya tadi.

Setelah berakhir sesi suai kenal, agenda mesyuarat diteruskan dengan diketuai oleh Penolong Pengarah Urusan, En. Zulkifli.

“Okey, seperti yang semua sedia maklum, hari ini, pengarah urusan kita tidak dapat bersama dengan kita dalam mesyuarat ini kerana beliau telah ke Dubai atas urusan syarikat. Beliau hanya akan pulang dalam minggu hadapan. Saya telah berbincang dengan beliau sebelum beliau berangkat, dan En. Ilham bersetuju dengan tarikh yang telah saya cadangkan untuk hari keluarga seperti yang kita bincangkan dalam mesyuarat lepas. Jadi, selepas ini, saya berharap anda dan semua kakitangan syarikat akan memberikan kerjasama kepada saya dan kakitangan dari jabatan saya untuk mempermudahkan perjalanan hari keluarga tersebut. Perkembangan seterusnya akan dikhabarkan dari masa ke semasa.” Pn. Ainon dari Jabatan Pengurusan bersuara sebaik tiba gilirannya untuk memberi laporan.

Sebaik mesyuarat tamat, Fida dibawa oleh Pn. Jannah untuk dikenalkan kepada kakitangan di jabatan yang bakal diketuainya kelak. Dia juga telah dibawa melawat dan diterangkan serba sedikit berkenaan syarikat tersebut sebelum memulakan tugasannya.

Sepanjang seminggu dia di Lavenda Group, dia masih belum bertemu dengan En. Ilham Farish Dato’ Azman, Pengarah Urusan Lavenda Group Sdn.Bhd. Hanya namanya sahaja sering meniti di bibir pekerja-pekerja syarikat itu. Walaupun baru seminggu dia di syarikat itu, Fida sudah mendengar banyak informasi berkenaan En. Ilham. Baik dari tukang cuci sehingga ketua-ketua jabatan, ramai yang bercerita kepadanya berkenaan pengarah muda itu. Peribadi Fida yang ramah dengan kakitangan tanpa mengenal pangkat dan jawatan membuatkan baru seminggu di syarikat itu dia telah  berkenalan dengan hampir separuh dari kakitangan syarikat.

Terngiang-ngiang perbualannya bersama rakan sepejabat yang baru dikenalinya, Meetha semasa mereka keluar makan tengahari sebentar tadi.

“Fida, you tahu tak, our CEO akan masuk office esok. You belum jumpa dia lagi kan? I berani bet kalau you jumpa dia mesti you terpikat dengan dia.” Meetha kelihatan sungguh teruja apabila bercerita berkenaan bosnya itu. Meetha ialah setiausaha kepada En. Ilham.

“Isy, hensem sangat ke dia tu? Sejak I masuk sini, boleh dikatakan tiap-tiap hari I dengar cerita pasal our CEO tu. Sampaikan Mak Cik Esah tukang cuci tu pun cerita pasal En. Ilham.” Fida bertanya kepada Meetha. Timbul perasaan ingin tahu apabila acapkali dia mendengar berkenaan En. Ilham.

“Gila you tak hensem. Hensem tau dia tu. Mix melayu dengan mat saleh. Seumur hidup I, tak pernah  dapat kerja dengan bos sebaik En. Ilham tu tau. Tapi itu la, En. Ilham kata dia dah kahwin. Tapi, sorang pun tak tahu pasal wife dia. Dia tak pernah tunjuk pada kita orang. Bertuah betul wife dia dapat suami macam tu, dah la kacak, baik, kaya pulak tu.” Bukan main lagi Meetha memuji bosnya.

“You secretary dia, takkan tak tahu siapa wife dia. Peliklah macam tu. Selalu yang I tau kalau orang-orang korporat attend apa-apa majlis mesti bawak wife dia.” Fida pelik dengan penjelasan Meetha. Takkanlah kalau setiap hari orang bercerita pasal En. Ilham tu, tak ada siapa pula yang tahu pasal isterinya. Macam tak logik saja.

“Betul I tak tahu. Wife dia tu macam tak wujud. Kadang-kadang I rasa dia tipu saja bila dia kata dia dah kahwin. Mungkin nak elakkan dari semua perempuan yang cuba nak berkepit dengan dia tu tak. Sebab tu lah dia cakap dia dah kahwin.” Meetha terdiam sekejap sebelum menyambung kembali katanya. “Ya, baru I ingat. En. Zulkifli tahu berkenaan wife dia. I pernah terdengar bos bercakap pasal wife dia dengan En. Zul. I ada dengar something about Jepun tapi tak berapa jelas waktu tu.”

Fida tersentak apabila mendengar deringan dari telefon bimbitnya. Habis melayang ingatan perbualannya bersama Meetha berkenaan CEO syarikatnya itu. tak sabar pula mahu melihat sendiri CEO yang dipuji-puji ramai.

Fida tersenyum melihat nama pemanggil yang tertera di screen lantas butang hijau ditekan. “Hello, angah. Apa khabar kau? Baru sekarang ingat nak telefon aku ya.”

“Waalaikumussalam. Sihat saja. Yang telefon kau dua hari lepas tu siapa pulak kalau bukan aku? Takkan lah aku nak telefon kau setiap masa. Mahu mengamuk Kak Lina kamu. Nanti diingatnya aku pasang scandal. Mati aku nak menjawab.” Angah sudah tergelak membayangkan muka isterinya yang sedang marah.

“Iye la tu, Kak Lina mesti faham la kalau kau cakap kau call aku. Aku ni kan adik kau angah. Takkan itupun dia nak merajuk jugak.” Fida turut tergelak. Gambar perkahwinan angahnya bersama Kak Lina terlayang di layar ingatan.

“Angin orang mengandung ni kau bukan tak tahu. Susah nak dibaca. Nanti kau dah mengandung masaklah suami kau nak melayan.”
Secara tidak disedari Fida terguris dengan kata-kata angahnya itu.

Tidak mendapat respon daripada Fida, Farid tahu yang adiknya terasa dengan kata-katanya. “Fida, kau terasa ke? Sorry la ye. Aku tak sengaja.” Farid memohon maaf.

“Tak pe.” Fida membalas ringkas.

“Kalau aku nak tanya sikit ni, kau jangan marah aku pulak. Betul ke kau tak nak jumpa suami kau? Sekurang-kurangnya kenal serba sedikit ke buat masa ni? Aku yakin nama suami kau pun kau tak pernah tahu kan? Farid menduga. Dia sedar selama ini dia tidak pernah bercerita langsung berkenaan suami kepada adiknya itu. adiknya pasti tidak mahu mendengarinya jika dia mahu membuka cerita. Akhirnya, dia diamkan saja. Dia risau tindakannya yang memaksa Fida akan menyebabkan adiknya itu semakin jauh dari mereka sekeluarga.

“Angah, kau pun tahu kan aku tak suka cakap pasal hal ni. Aku terseksa angah. Ayah tak pernah nak faham perasaan aku.” Fida meluahkan perasaannya.

“Ya, aku akui ayah tak fikir pasal perasaan kau masa dia suruh kau kahwin dulu. Tapi, kau pun ada fikir tak perasaan ayah? Sebab apa ayah suruh kau kahwin dengan Ilham? Ada kau tanya? Ada tak kau fikir perasaaan Ilham lepas kau tinggal dia macam tu saja? Perasaan orang-orang sekeliling kau? Come on la Fida, kau dah besar. Aku tahu kau boleh fikirkan.” Farid sudah tidak dapat membendung persoalan yang bermain dibenaknya. Dia perlu menyedarkan Fida. Terlalu ramai yang terluka akibat dari perbuatan Fida yang dulu.

Fida terdiam mendengar soalan yang bertubi-tubi keluar dari mulut angahnya. Air matanya menitis lagi walaupun angahnya bertanya bukan dengan nada yang marah jauh sekali mengherdik.  Tanpa sebarang jawapan, dia mematikan panggilan telefon tersebut. Telefon yang gelap dicampakkan sahaja di atas katil. Malam itu, air matanya tumpah lagi.