Sawah padi yang menghijau menggamit ketenangan di dalam diri Fida. Terasa baru semalam dia mengangkat kaki meninggalkan tanah airnya yang tercinta. Hari ini, setelah genap 1 tahun 2 bulan dia meninggalkan Malaysia untuk menimba ilmu di Jepun, dia pulang kembali ke kampung halamannya.
Dari jauh dia melihat suasana meriah di rumahnya. Sama seperti semasa kenduri kahwin abangnya yang sulung, Fakhrul. Terdapat 2 buah khemah yang terpasang di halaman rumah. Seketika, teringat kembali perbualan telefon antara dia dan angahnya yang meminta dia pulang secara tiba-tiba. Tidak pula angahnya menyebut sebab dia disuruh pulang. Dia hanya diminta untuk pulang atas arahan ayahnya. Sejak dari dulu lagi Fida takut dengan ayahnya, Pak Idris. Pak Idris sangat garang. Dia dan abang-abangnya pasti dimarahi jika melakukan kesalahan. Pernah sekali ayahnya mengikat abang sulungnya pada pokok besar yang dipenuhi kerengga kerana abangnya ditangkap mencuri buah manggis di dusun Pak Abu yang terletak di hujung kampung. Sejak itu, dia tidak berani melakukan kesalahan apatah lagi membantah kata-kata orang tuanya itu.
Fida tidak pernah merasai kasih sayang dari seorang ibu sejak dia berumur dua bulan kerana ibunya meninggal dunia akibat dari penyakit yang langsung tidak diketahui puncanya. Ada juga yang mengatakan ibunya meninggal akibat dari buatan orang. Tapi hal itu tidak pernah diakui oleh ayahnya. Sejak pemergian ibunya itu, Pak Idris membanting tulang membesarkan Fida dan dua orang abangnya. Walaupun cara bapanya mendidik mereka sedikit keras, tapi pada masa yang sama dia dapat merasai kasih sayang bapanya itu terhadap mereka tiga beradik.
“Fida, lamanya tak jumpa kau.. rindu aku dengan adik aku yang sorang nih.” Farid, abangnya yang kedua menyambut ketibaan Fida yang baru keluar dari perut teksi. Tangan yang dihulur lekas di sambut Fida.
“Fida pun rindu kat angah. Dah makin buncit angah sekarang ye.” Gurau Fida sambil memegang perut Farid. Antara Fakhrul dan Farid, Fida lebih rapat dengan abangnya yang kedua itu. Abangnya yang sulung sudah berkahwin dan menetap di Sabah dan bekerja sebagai guru di sana. Farid pula bekerja di Johor dan masih belum berkahwin.
“Isy, apa pulak aku yang macho nih kau kata buncit. Mana ada la wei. Kau ni baru jer balik dah nak cari gaduh dengan aku kan.” Farid berpura-pura marah.
Fida tersenyum dengan reaksi spontan angahnya. “Angah, kenapa yang pasang khemah bagai ni? Nak buat kenduri sambut aku ke? Ke nak buat kenduri kahwin kau?” Fida meluahkan kemusykilannya.
Farid yang tadi ketawa, kembali terdiam. “Kau tak jumpa ayah lagi kan? Jom, aku bawak kau jumpa ayah. Along dengan family dia belum sampai lagi. Katanya, esok pagi baru dorang bertolak balik.” Farid mengalihkan topik. Beg adiknya diambil lalu dia menarik tangan Fida untuk masuk ke dalam rumah. Walaupun rasa hairan masih menyelubungi, dia membiarkan sahaja soalan itu berlalu tidak berjawab. Dia tahu, nanti pasti dia akan mendapat jawapannya.
No comments:
Post a Comment