“Kenapa ayah buat Fida macam ni? Fida tak nak kahwin dengan orang yang Fida tak kenal. Tolonglah ayah. Ayah tak sayang Fida ke? Angah, kenapa angah tak bagi tahu Fida awal-awal?” teresak-esak Fida menangis. Perkara yang baru dikhabarkan dari mulut ayahnya sendiri betul-betul membuatkan Fida rasa dikhianati. Terasa dirinya diletakkan di tempat paling belakang sekali.
Angah hanya mampu melihat sayu. Mahu memujuk tapi terasa tiada sepatah perkataan pun mampu terkeluar dari mulutnya tika ini. Memang dia kasihan pada adiknya yang terpaksa berkahwin dengan lelaki yang tidak dia kenali. Sebagai abang, dia tahu, tidak patut ayahnya memperlakukan Fida begitu. Bukannya dia dan alongnya tidak membantah apabila diberitahu tentang hal perkahwinan ini beberapa bulan lepas namun, arahan yang keluar dari mulut ayahnya serta rasa hormat kepada orang tuanya itu membuatkan hatinya berbelah bagi. Akhirnya, dengan berat hati, segala arahan yang dikeluarkan oleh ayahnya terpaksa diikut juga.
“Sebab ayah sayang kaulah ayah nak kau kahwin dengan anak Datuk Azman tu. Keluarga Datuk Azman tu baik. Anak dia pun ayah tahu baik budaknya. Lagipun, nanti semua harta Datuk Azman tu akan jatuh ke tangan Ilham, satu-satunya pewaris yang dia ada. Nanti kau juga yang beruntung. Ayah tak kira. Walau apapun yang terjadi, kau akan tetap jadi isteri Ilham esok. Kalau kau buat perangai, kau tahu apa yang aku akan buat pada kau!” Pak Idris mengeluarkan amaran keras. Matanya sengaja dibulatkan memandang Fida.
Fida yang tidak mampu menahan esak terus bangun dan berlari ke dalam bilik. Pintu biliknya ditutup kuat. Dia menghenyakkan tubuh ke atas katil yang telah dihias indah dengan tema berwarna putih hitam. Di situ dia menangis lagi semahu-mahunya. Tidak disangka, ayahnya sanggup mengahwinkan dia kerana harta. Terasa malang betul-betul menimpa dirinya waktu ini.
“Ibu, Fida rindukan ibu. Kalau ibu ada tentu ibu dapat halang ayah dari buat macam ini pada Fida kan?” malam itu, Fida langsung tidak dapat melelapkan mata. Air matanya gugur sederas hujan yang sedang membasahi bumi di luar rumahnya.
…………………………………………………………………..
Rumah kampung yang jarang-jarang menerima bilangan tetamu yang ramai sudah mula dipenuhi sanak saudara serta orang kampung yang tinggal berdekatan. Hari ini, bakal berlangsungnya majlis pernikahan antara Fida Antasya dan Ilham Farish diikuti dengan majlis persandingan di sebelah pengantin perempuan keesokan harinya. Fida yang baru sahaja dimekap dan dipakaikan dengan persalinan berona putih masih kelihatan sugul. Mukanya yang sembab dan memerah sudah ditutup dengan solekan yang dikenakan oleh mak andam.
Terkejut juga apabila mak andam masuk ke dalam bilik Fida untuk menyolek muka bakal pengantin itu. merah dan sembab muka Fida. Sudah lagak orang mati laki. Apabila mak andam yang berusia awal 40-an namun masih cantik itu bertanya, Fida hanya menggeleng lemah sahaja. Malas mahu bertanya lebih, dia terus sahaja menyolekkan Fida memandangkan majlis pernikahan yang berlangsung di rumah itu bakal bermula kurang beberapa jam sahaja lagi.
Apabila waktu menginjak pukul 2.30 petang, rombongan pengantin lelaki tiba ke rumah Fida untuk majlis akad nikah. Ilham yang segak berbaju melayu rona putih sedondon dengan baju yang dikenakan Fida melangkah turun dari perut kereta yang dipandu oleh sepupunya. Sebaik menjejakkan kaki ke tanah, dia bersalaman dengan bakal bapa mentua serta saudara mara lelaki Fida yang datang menyambutnya. Jurukamera yang diupah khas oleh Datin Isma untuk majlis pernikahan dan perkahwinan anak lelaki tunggalnya sudah mula merakamkan gambar seperti yang diamanahkan.
Kaum perempuan baik dara mahupun sudah berkahwin tidak lekang dari memandang wajah pengantin lelaki yang kelihatan sangat kacak. Raut wajah yang bersih tanpa sebarang cela, senyuman yang manis serta wajah melayu inggeris yang diwarisinya dari Datin Isma dan wajah melayu dari ayahnya betul-betul menambat hati sesiapa yang memandang. Ada yang berbisik-bisik memuji tentang ketampanan Ilham dan membanding-bandingkan dengan Fida. Ada yang berpendapat Ilham dan Fida sangat secocok bagai pinang dibelah dua. Tetapi, ada juga orang kampung yang iri hati dan berpendapat Fida langsung tidak sesuai dengan Ilham. Masakan orang kaya dan kacak seperti Ilham memilih untuk berkahwin dengan Fida sedangkan dia mampu untuk mendampingi wanita yang lebih kaya dan layak berdampingan dengannya.
Fida yang menyedari tentang ketibaan rombongan pihak pengantin lelaki sudah mula gelisah di dalam biliknya. Dia betul-betul tidak bersedia untuk bergelar isteri kepada orang yang dia tidak kenali. Dia juga risau perancangan yang dilakukan malam tadi tidak berjalan seperti yang dirancang. Sekarang inipun rancangan tersebut sudah lari dari plan yang asal. Dia rasa geram dengan Ijan kerana masih belum mendapat panggilan daripada lelaki itu sedangkan dia bakal dinikahkan beberapa minit sahaja lagi.
Seketika kemudian, lelaki berserban yang ditemani oleh abang sulungnya masuk ke dalam bilik Fida. Fida dapat mengagak lelaki tersebut adalah juru nikah yang bakal menikahkan dia sebentar nanti. Tok imam tersebut mahu mendapatkan tandatangan dan persetujuan Fida untuk meneruskan majlis. Sebaik ditanya, mahu sahaja Fida berkata tidak setuju tetapi terpandang sahaja jelingan amaran daripada ayahnya, dia terus bersetuju. Selepas itu, tok imam serta beberapa orang lelaki tadi termasuk abangnya keluar meninggalkan dia berseorangan di dalam bilik. Sepupunya yang sebentar tadi di dalam bilik menemaninya juga turut keluar meninggalkan dia berseorangan kerana mahu melihat upacara akad nikah berlangsung.
“Fida..Fida..” Fida yang duduk di bucu katil tersentak mendengar namanya dipanggil perlahan.
Terjengul kepala Ijan disebalik tingkap biliknya. Tiada orang yang melihat perbuatan Ijan yang meletakkan tangga di tingkap bilik Fida memandangkan semua orang sedang sibuk melihat majlis pernikahan yang sedang berlangsung. Pintu bilik Fida juga dirapatkan sedikit dan agak terlindung dari kawasan ruang tamu tempat majlis berlangsung.
“Kau Ijan, kenapa lambat sangat? Aku cakap pada kau pukul berapa, sekarang da pukul berapa? Kau ni memang nak sabotaj aku ke Ijan?” Kemarahan Fida sudah tidak dikawal. Geramnya pada Ijan serta tekanan yang dihadapinya sekarang betul-betul menaikkan darahnya.
“Rilek la wei. Kau tak tahu betapa bersusah payahnya aku nak tolong kau ni. Tadi line tak clear. Aku tak dapat nak bawak tangga datang sini. Kau tahu je lah, hari kenduri kan ramai orang. Kau pun agak-agaklah. Aku dah bersabung nyawa nak tolong kau, kau boleh marah aku pulak.” Ijan membalas. Tangannya masih memegang kejap birai tingkap untuk mengelakkan dia dari terjatuh.
“Ha, dah..dah. cepat tolong aku bawak beg ni pergi kat kereta kau. Kau parking kat tempat yang kita rancangkan kan? Kau pergi dulu stand by, nanti aku datang. Cepat ambil ni.” Fida menghulurkan beg yang sama dibawanya apabila pulang ke kampung semalam.
Ijan mengangguk lantas mengambil beg yang disuakan Fida. Sejurus selepas itu, dia melompat turun dari tangga yang didirikan di tingkap bilik Fida.
“Sah..Sah”. Fida terdengar suara orang yang memenuhi ruang tamu rumahnya bersuara diikuti dengan bacaan doa.
“Ayah, maafkan Fida.” Air mata yang sedari tadi ditahan gugur juga. Dengan pantas dia memijak katil dan duduk di birai tingkap lalu perlahan kakinya memijak tangga yang didirikan Ijan tadi. Kain yang dipakai langsung tidak menjadi penghalang untuknya menaiki tingkap biliknya. Sudah biasa dari kecil dia keluar dari bilik senyap-senyap tanpa pengetahuan ayahnya dulu. Sekadar mahu keluar bermain. Jika dia meminta izin kepada ayahnya, pasti teruk dia dimarahi kerana dahulu dia lebih suka berkawan dengan budak lelaki berbanding perempuan. Matanya sesekali melilau arah pintu bilik yang tertutup sedikit itu risau jika ada yang tiba-tiba membuka pintu biliknya dan melihat perbuatannya itu.
Sebaik menjejakkan kaki ke tanah, dengan pantas dia berlari menuju ke jalan kecil belakang rumahnya. Dia sering menggunakan jalan tersebut semasa dia masih kecil jika mahu curi-curi keluar bermain tanpa pengetahuan ayahnya. Di penghujung jalan yang tidak sampai 50 meter itu, kelihatan Ijan yang sudah ada di dalam kereta proton wira bersiap sedia menunggunya. Sebaik punggung Fida mencecah tempat duduk penumpang, laju sahaja kereta tersebut menuju ke destinasinya.
No comments:
Post a Comment