Tuesday, 10 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 2(e-novel)

Ilham mengeluh perlahan. Terasa berat beban di dadanya waktu ini. Kesihatan ibunya yang semakin hari semakin merosot serta permintaan ibunya beberapa bulan yang lalu betul-betul menyesakkan jiwa. Usai menghambakan diri kepada yang maha esa, dia melangkah ke arah balkoni bilik tidurnya. Kata-kata ibunya seakan terngiang-ngiang ditelinga. Lantas, seperti lakon layar peristiwa itu bermain semula di ingatan entah untuk yang keberapa kalinya.

“Ilham anak mama, mama ada benda yang nak dibincangkan dengan kamu. Mama harap, permintaan mama ni, Ilham boleh tunaikan.” Datin Isma berkata sambil mengusap perlahan belakang anak tunggalnya itu.

Muka anak terunanya itu, ditatap lembut. Timbul rasa bersalah kerana terpaksa meletakkan beban ini kepada anaknya, namun dia akan rasa lebih bersalah andai janji yang pernah dilafaskan suatu ketika dahulu tidak dilaksanakan.

21 tahun dia terputus hubungan dengan keluarga tersebut. Janjinya untuk menjadikan anak bekas pembantu rumah yang juga rakan baiknya itu sebagai ahli keluarganya terkubur begitu sahaja dek kerana tindakan suami rakan baiknya itu yang tiba-tiba membawa anak mereka berpindah selepas rakannya meninggal dunia. Selepas 21 tahun, akhirnya tuhan menemukan kembali dirinya dengan Idris, suami rakannya, Halida.

Semasa Halida masih lagi bekerja sebagai pembantu rumahnya, dan Idris sebagai pemandu suaminya, Datuk Azman, dia pernah berjanji kepada Halida untuk mengambil Fida sebagai ahli keluarganya memandangkan keadaan kesihatan Halida yang tidak menentu.Tambahan pula, dia hanya memiliki seorang sahaja anak lelaki. Namun, seminggu selepas Halida meninggal dunia, Idris terus berhenti kerja dan membawa ketiga-tiga orang anaknya pergi bersama.

Selepas berjumpa kembali dengan Idris, dia menyatakan semula hasratnya untuk mengambil Fida sebagai ahli keluarganya ataupun paling kurang sekadar anak angkat untuk menunaikan janjinya kepada Halida. Namun, Idris meletakkan syarat bahawa dia harus mengahwinkan Ilham dengan Fida jika mahu Fida masuk ke dalam keluarganya.

Setelah puas berfikir, akhirnya Datin Isma mengambil keputusan untuk mengikut saranan Pak Idris. Dia tahu, anaknya pasti tidak akan membantah. Dengan cara itu, dia dapat menunaikan janjinya kepada Halida dan dia yakin pasti Ilham akan bahagia bersama Fida suatu hari nanti.

“Mama nak Ilham kahwin dengan anak kawan mama. Masa Ilham kecil dulu, mama dah janji dengan arwah kawan mama nak jadikan anak mereka sebagai ahli keluarga kita. Tapi, selepas 21 tahun, baru mama jumpa balik dengan Pak Idris, pemandu lama papa. Mama janji dengan arwah isteri dia dulu. Mama dah bincang hal ni dengan papa, dan papa pun dah setuju. Mama difahamkan, tiga bulan dari sekarang, Fida anak Pak Idris tu akan bercuti. So, kamu akan bernikah waktu tu.”

Ilham terkejut mendengar permintaan ibunya itu. Tidak dijangka, dalam waktu sebegini dia diminta untuk berkahwin. Sudahlah dengan keadaan ibunya yang baru disahkan menghidap barah payu dara, malah kerjayanya juga baru saja bermula. Baginya, sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk dia berkahwin.

Melihat sahaja rupa Ilham yang seakan terkejut dan tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulut anaknya itu, Datin Isma cuba memujuk lagi. “Ilham, bukan apa, entah sampai bila lagi mama boleh hidup. Penyakit mama ni boleh bawa mati. Sebelum mama pergi, mama nak tengok anak mama bahagia. Mama tahu, Ilham boleh bahagia dengan Fida.” Tangan Ilham cuba diraih.

“Jangan cakap macam tu mama. Takpe lah, kalau itu yang mama rasa terbaik untuk Ilham, Ilham ikut. Tapi, mama jangan bersedih dan kecewa kalau satu hari nanti rumah tangga Ilham tak jadi seperti yang mama harapkan.” Ilham terus melepaskan genggaman tangan ibunya lalu terus beredar meninggalkan ibunya berseorangan di ruang tamu. Datuk Azman pula sudah seminggu tidak pulang kerana bermalam di rumah isteri keduanya.

Hati Datin Isma tersayat mendengar kata-kata Ilham. Dia rasa takut andai perkara yang anaknya sebutkan tadi terjadi. Dia risau di masa hadapan anaknya menuduh dirinya menjadi punca kepada masalah rumahtangga mereka di kemudian hari. Malam itu, air mata tuanya gugur. Dia terpaksa mempercatur hidup anaknya demi janji yang pernah dilafazkan. Namun, untuk memungkiri janji itu tidak pula dia sanggup.

No comments:

Post a Comment