Sunday, 15 January 2012

Maaf Aku Pinta - Bab 11(e-novel)


Setiba di Pangkor Island Beach Resort, Ilham dan Fida disambut oleh kakitangan Lavenda Group yang menjadi urusetia bagi hari keluarga ini. Anak buah Pn. Ainon telah tiba semalam untuk menguruskan berkenaan aturcara hari keluarga sehinggalah persiapan untuk majlis makan malam yang akan diadakan pada esok malam.

Sebagai pemilik syarikat, layanan first class diberikan kepada Ilham. Fida yang menjadi peneman perjalanan Ilham pada hari ini, turut menerima tempias layanan itu.

Selesai minum petang, Ilham meminta diri untuk pulang ke biliknya. Fida yang sedang bergelak ketawa dengan Yana, Mukhlis dan Swee Tin ditinggalkan saja di restoran hotel tersebut.  Walaupun tidak begitu rapat dengan kakitangan dari Jabatan Pengurusan, namun sikap ramah yang dimiliki Fida tidak menghalang mereka untuk berbual. Ramai kakitangan menyenangi peribadi Fida itu. Fida langsung tidak sombong walaupun menyandang jawatan sebagai ketua jabatan.

Fida hanya masuk ke biliknya setelah semua kakitangan syarikat yang menyertai hari keluarga ini tiba di sini. Mereka tiba secara berperingkat memandangkan hanya van-van pelancong disediakan untuk membawa pelancong ke tempat penginapan di pulau ini.

Kakitangan syarikat tidak dibenarkan memilih rakan sebilik memandangkan ada antara kakitangan yang tiba bersama keluarga. Jadi mereka perlu menerima sahaja siapa rakan sebilik mereka. Bagi kakitangan berjawatan tinggi yang datang berseorangan, mereka diletakkan secara berdua bagi satu bilik. Cuma Pengarah Urusan, Penolong Pengarah Urusan serta tiga orang Ahli Lembaga Pengarah sahaja mendapat first class room dan tidak perlu berkongsi bilik. Fida pula ditempatkan bersama Sales Manager Lavenda Group, Aisya.

Fida belum pernah mendengar nama Aisya sebelum ini. Sebaik dikhabarkan dia sebilik dengan Aisya, dia menerima sahaja. Namun, sejak tadi Aisya masih belum menampakkan diri. Hanya dia berseorangan di dalam bilik. Fida yang keletihan selepas mengharungi perjalanan selama beberapa jam terus membaringkan badan di atas katil. Berniat untuk merehatkan diri sebelum menyertai aktiviti yang seterusnya disebelah malam nanti.

Fida terjaga apabila mendengar pintu bilik dibuka seseorang. Seketika kemudian, masuk perempuan yang memakai jeans ketat paras lutut bersama body shirt. Rambutnya yang keperangan diikat satu. Fida yang tadi berbaring mengubah posisinya kepada duduk. Senyuman manis dihadiahkan apabila perempuan itu yang sedang memandang mukanya.

Perempuan itu langsung tidak membalas senyuman Fida. Malah, jelingan pula dihadiahkan. Lantas, pintu bilik kembali ditutup dengan hanya ditolak menggunakan kaki. Dengan kasar dia menarik beg pakaiannya yang beroda. Menuju ke arah katil kosong bersebelahan Fida.Fida yang tadi tersenyum mengendurkan kembali senyumannya.

“Sombong.” Fida berkata dalam hati.

Tiada mood mahu bersuai kenal dengan rakan sebiliknya itu, Fida mengambil tualanya untuk mandi. Selepas melakukan solat jamak, dia mahu bersiap kerana menurut aturcara majlis, mereka diminta berkumpul di pantai berhadapan hotel untuk aktiviti yang bakal bermula.

Selesai solat, Fida menerima panggilan daripada angahnya. Dia telah memaklumkan kepada angahnya tentang keberadaan dia di Pulau Pangkor. Angahnya juga mengkhabarkan yang kakak iparnya telah selamat melahirkan anak lelaki. Seronok betul angah bercerita.  Tergambar keterujaan Farid buat pertama kali bergelar bapa. Fida hanya mampu mengucapkan tahniah kepada Farid.

Dua minggu lalu, dia ada berjumpa dengan Farid apabila Farid turun ke Kuala Lumpur. Jarak antara mereka yang jauh menyukarkan Fida bertemu Farid selalu. Farid masih tinggal di Johor. Malah dia juga belum berkesempatan bertemu dengan kakak iparnya. Hanya nama saja yang meniti di bibir angahnya. Setelah beberapa minit bersembang, Angah menamatkan panggilan kerana mahu melihat keadaan kakak iparnya. Ucapan syukur dipanjatkan kerana Allah menambah lagi seorang ahli baru dalam keluarganya.
…………………………………………………………………………

Aktiviti barbeque pantai sudah berakhir sebentar tadi. Seronok sungguh staf bersembang dan bergurau senda antara satu sama lain. Keletah anak-anak kakitangan syarikat turut menggelikan hati. Pelbagai ragam dapat dilihat. sepasang pengantin baru yang turut serta tidak terlepas dari menjadi bahan usikan. Merah muka pengantin baru yang kedua-duanya dari Jabatan Pemasaran itu diusik oleh rakan-rakan mereka.

Fida yang tadi bergelak ketawa bersama Meetha, Swee Tin dan Mukhlis kembali ditinggalkan sendirian di tepi pantai yang diterangi lampu-lampu yang datang dari hotel. Meetha, Swee Tin dan Mukhlis sudah meminta diri untuk pulang ke bilik masing-masing. Kakitangan yang lain juga sudah meninggalkan pantai. Jauh sedikit dari tempat dia bersantai, urusetia yang ditugaskan menguruskan barbeque ini sudah mahu pulang ke hotel selepas mendapati pekerja hotel sudah mengambil alih tugas mengemas kawasan barbeque itu.

Dia sengaja tidak mahu pulang ke bilik hotel. Terasa hati dan geram dengan kata-kata yang keluar dari mulut Aisya sebaik dia menamatkan panggilan telefon tadi. Tidak tahu apa masalah Aisya padanya, tidak semena-mena Aisya menyindir Fida. Katanya Fida kaki kikis. Sengaja menyendeng Ilham kerana gilakan harta. Fida yang panas hati terus bertanya apa masalah Aisya. Mereka belum pernah berjumpa pun sebelum ni. Bagaimana Aisya boleh berkata begitu? Dia tidak tahu mana silapnya, tega Aisya menuduhnya.

Tidak mahu tangannya naik ke muka perempuan itu, terus Fida keluar dari bilik. Semasa barbeque, hatinya sedikit terubat melihat gelagat staf syarikat serta gelak ketawa bersama rakan-rakannya. Seketika dia lupa berkenaan peristiwa antara dia dan Aisya sebentar tadi. Dia pun tidak nampak kelibat Aisya sepanjang majlis barbeque berlangsung. lebih baik begitu. Dia risau dia akan bertegang urat pula dihadapan staf lain jika Aisya ada sama.

Lautan luas yang kelam dek kegelapan malam dipandang sepi. mengingati peristiwa serta kekesalan dahulu yang tidak pernah meninggalkan dirinya. berseorangan begitu mudah saja membuatkan hatinya sayu. air mata yang menitis dibiarkan membasahi pipi.

No comments:

Post a Comment