Hari yang ditunggu-tunggu pekerja Lavenda Group Sdn. Bhd
tiba juga. Hari keluarga yang diadakan sekali setiap tahun ini bakal diadakan
dia di Pulau Pangkor pada kali ini. Semasa hari keluarga inilah pekerja-pekerja
dapat mengeratkan silaturahim antara kakitangan dan keluarga disamping
menenangkan minda dari memikirkan soal kerja yang tidak pernah habis.
Untuk membawa para pekerja serta ahli keluarga masing-masing,
pihak syarikat telah menyewa tiga buah bas memandangkan ada antara pekerja yang
telah bertolak terlebih dahulu untuk menguruskan keadaan di sana. Satu persatu
bas yang sudah dipenuhi dengan
kakitangan syarikat bertolak menuju ke Lumut sebelum menaiki feri untuk ke
Pulau Pangkor.
Fida sudah nekad mahu menaiki bas bersama Meetha walaupun
namanya sudah digugurkan dari senarai penumpang bas. Nampaknya, rancangannya
bakal berjalan dengan lancar kerana selepas bas ke dua sudah bertolak, Fida
masih belum melihat kelibat En. Ilham. Ilham meminta Fida menunggunya di lobi
syarikat sehingga dia tiba. Dia mahu Fida pergi ke Lumut menaiki kereta
bersamanya.
Sebaik nama bagi penumpang bas ke tiga diumumkan,
masing-masing mula menaiki bas. Senyuman di wajah Fida semakin melebar. Dia yakin
dia pasti sempat menaiki bas bersama Meetha sebelum kedatangan Ilham. Sebaik sahaja
melangkah menaiki perut bas, kedengaran namanya dipanggil dari belakang.
Senyuman yang tadi menguntum kembali kendur. Ilham sudah berada di belakangnya
sambil mencekak pinggang.
Lelaki yang segak memakai t-shirt polo bersama jeans
dan berkaca mata hitam itu dipandang hampa. Meetha yang melihat raut wajah
sahabatnya daripada senyum keriangan bertukar hampa tergelak perlahan tanpa
dikawal.
Fida kembali turun dari bas walaupun tidak mendapat arahan
daripada Ilham. Faham benar dengan lenggok badan yang ditunjukkan Ilham. Jelas terpamer riak hampa di muka Fida. Beg
pakaiannya ditarik perlahan menuju ke arah kereta mewah yang terparking elok di
depan pintu masuk syarikat. Sebaik Fida melepasi Ilham, Ilham mengikut di
belakang Fida sebelum membuka bonet untuk menyimpan beg. Tanpa suara juga Fida
masuk di sebelah tempat duduk penumpang.
“Saya cakap apa pada awak? Susah sangat ke awak nak faham
arahan saya?” Ilham bersuara setelah hampir setengah jam di dalam kereta. Saat
ini, mereka baru sahaja melepasi Restoran Jejantas Sungai Buluh.
“Saya, nak naik bas dengan dorang. Naik bas ramai-ramai
seronok encik.” Fida bercakap perlahan sambil bermain-main dengan hujung blaus
yang dipakainya. Walaupun perlahan, suara Fida masih dapat didengari dengan
jelas oleh Ilham.
“Maksud awak, naik dengan saya ni tak seronok lah ye? Awak
secretary saya. Jadi awak kena dengar arahan saya. Sekali lagi awak ingkari
arahan saya, siap awak.” Ilham memberikan amaran. Dahinya dipegang perlahan.
Sakit kepala sudah mula terasa kembali. Cermin mata hitam yang dia pakai
sedikit sebanyak membantu menyembunyikan ekspresi wajahnya daripada Fida.
Hari ini dia terlambat bangun. Sebetulnya, dia baru sahaja
tiba di rumahnya pada jam 2.30 pagi tadi dari Sabah. Dia pergi meninjau
pembinaan resort baru syarikatnya yang dikatakan mempunyai masalah. Dia mahu
melihat sendiri masalah yang dihadapi memandangkan pembinaan resort itu sudah
terlewat dari tarikh perancangan asalnya.
Ilham yang tidur kembali selepas menunaikan solat subuh
langsung terlupa tentang hari keluarga syarikatnya pada hari ini. Sedar-sedar
saja jarum jam menunjukkan pukul 11.00 pagi. Itupun nasib baik dikejutkan oleh
ibu tirinya. Dengan pantas dia mandi tanpa menghiraukan sakit kepala yang
menyerang. Nasib baik masih ada baju yang belum digunakan di dalam beg yang
dibawanya semasa ke Sabah. Terus sahaja dia bertolak untuk mengambil Fida.
Fida hanya mencebik menerima amaran dari Ilham. Malas mahu
bertekak lagi, pandangannya dihala keluar. Memerhati pemandangan di luar lebih
baik dari memandang lelaki disebelahnya.
Setelah berapa jam memandu, mereka tiba di Hentian Tapah.
Perut Ilham yang berkeroncong perlu diisi. Jika tidak, pasti gastriknya
menyerang lagi. Ilham memilih untuk menjamah nasi ayam manakala Fida hanya
menjamah kuih pau berinti kaya. Fida masih kenyang kerana tadi dia sudah menjamah
makanan yang disediakan pihak pengurusan sebelum mereka bertolak.
Selesai menjamu selera, Ilham dan Fida bergerak ke surau
untuk menunaikan solat jamak memandangkan waktu sudah pukul 3.00 petang. Tadi
semasa sedang makan, bas-bas yang membawa kakitangan juga baru tiba di hentian
ini. Tidak senang Ilham menjamah makanan. Sebaik mahu memasukkan makanan ke
dalam mulut, ada sahaja yang menegur mereka berdua. Ilham melemparkan senyuman
dan bersembang serba sedikit dengan mereka. Fida pula berbual sebentar bersama
Meetha sebelum diajak Ilham untuk bersolat.
Selesai sahaja solat, mereka
menyambung perjalanan mereka menuju ke Lumut. Semasa makan tadi, Fida
terperasankan muka Ilham yang kelihatan pucat. Sebaik mahu menegur, kakitangan
syarikat terlebih dahulu menegur mereka. Akhirnya, langsung dia lupa untuk
bertanya.
“Bos, bos ok tak ni? Saya tengok muka bos pucat je. Bos
sakit ke?” Fida bertanya sebaik teringatkan tentang pertanyaan yang lupa
diutarakan sebentar tadi. Baru terperasan yang tangan Ilham sesekali memicit
perlahan dahinya.
“Tak ada lah. saya pening sikit je. Sekejap lagi ok la ni.
Lagipun saya dah telan panadol tadi.” Ilham berkata. Sebenarnya itu hanya
alasan untuk mengelakkan Fida bertanya lebih lanjut. Ilham memang tidak suka
makan ubat sejak dari kecil lagi. Jika dia diserang apa-apa penyakit seperti
demam atau gastrik, seboleh mungkin dia akan berahsia tentang sakitnya. Semasa
mamanya masih ada dulu, pasti mamanya akan memaksa dia menelan ubat-ubatan. Malah papa dan orang gajinya pun tidak mampu memaksa Ilham menelan ubatan.
“Bila masa dia telan panadol? Aku tak nampak pun tadi.” Fida
bermonolog di dalam hati.
“Bos boleh drive ke tak? Kalau tak boleh biar saya bawa.”
Fida menawarkan diri untuk memandu. Sebelum berangkat ke Jepun dulu, dia sudah
memperolehi lessen memandu. Namun, sebaik bekerja di Kuala Lumpur dia belum
membeli kereta. Risau mahu memandu dalam hiruk pikuk kota. Tapi, bila dah
sampai kawasan ini dia mampu memandu kerana kereta tidaklah begitu banyak
seperti di KL dan jalannya juga tidak berserabut.
“Takpe, saya mampu drive lagi.” Ilham menolak pelawaan Fida.
Biarlah, pening sikit je pun.
“Keras kepala. Orang nak tolong pun tak nak. Takutlah tu aku
jahanamkan kereta mahal dia.” Fida berprasangka buruk. Tapi kata-kata itu tidak
terluah dari bibir. Jika Ilham dengar, pasti perang mulut akan kembali meletus
antara mereka.
Kebosanan melanda lagi. Apabila tiada suara yang keluar
hanya bertemankan dj radio, siapa-siapa pun akan bosan. dia mengeluarkan
majalah i-sihat yang dibeli di Hentian Tapah tadi. Dibaca tajuk-tajuk rencana
di dalam majalah. Tiada mood untuk membaca rencana yang berkisarkan tentang
kesihatan itu.
Ilham di kanan dijeling sekali-sekala. Selang beberapa minit
lelaki disebelahnya itu menguap. Mata Ilham masih fokus ke hadapan, mengemudi
kereta dengan tenang.
“Bos, nak tanya sikit boleh? Kenapa bos memandu sendiri
pergi mana-mana? Bos tak ada driver ke?” belum Ilham mengatakan persetujuan
terus Fida menanyakan soalan yang seterusnya. Sekadar mahu mengurangkan kantuk
dan kebosanan yang melanda. Jika dia memandu sendiri, dia mahu orang bercakap
dengannya. Dengan cara itu, dia akan kurang mengantuk. Dia fikir Ilham pun
mungkin akan kurang mengantuk jika menggunakan cara yang sama.
“Saya ada driver. Tapi saya suruh dia bawa ibu tiri saya.
Driver ibu tiri saya masuk wad. Lagipun saya suka drive sendiri.” Ilham membalas.
Elok juga andai dapat bersembang begitu dengan Fida.
“Bos ada ibu tiri? Tak tahu pula saya.” Fida bercakap
perlahan.
Walaupun sudah sebulan dia menjadi setiausaha kepada Ilham, banyak
benda yang dia tidak tahu mengenai lelaki itu. yang dia tahu, ibu dan bapa
Ilham telah meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Tentang isteri Ilham
pun lelaki itu tidak pernah bersuara. Selama ini, hanya Meetha yang bercerita
kepadanya mengenai keluarga Ilham tetapi bukanlah semua perihal lelaki itu
dicanangkan kepada Fida.
"Awak tak tahu apa-apa pasal saya Fida." ayat itu hanya bermain di dalam hati Ilham.
“Hmm, ada. Papa saya kahwin dengan ibu tiri saya masa saya
berumur 10 tahun. Arwah mama saya baik dengan ibu tiri saya. Walaupun papa saya
berharta, ibu tiri saya tidak pernah mengambil kesempatan. Dia terima seadanya
apa yang telah dia perolehi. Saya mula rapat dengan dia pun sejak arwah orang
tua saya meninggal. Dia sekarang tinggal di Kuala Terengganu. dekat dengan keluarga katanya. Ada juga sesekali saya pergi melawatnya. kadang-kadang, dia yang akan turun tengok saya di KL.” Ilham bercerita
mengenai Pn. Rahmah, ibu tirinya.
“Owh.” Hanya satu perkataan yang keluar dari mulut Fida.
tidak tahu bagaimana reaksi yang harus diberi.
“Awak pula asal dari mana? Parent awak ada lagi?” Ilham pula
bersuara. Ingin menduga ingatan Fida kepada keluarganya. Ingatkah lagi Fida
kepada lelaki tua yang saban waktu menunggu kepulangan anaknya?
Serasa dia juga tahu banyak perkara berkenaan keluarga Fida.
setiap tahun semasa hari raya dan jika berkesempatan, Ilham pasti akan
menjenguk ayah mentuanya. Setiap kali itu juga tidak putus-putus lelaki tua itu
memohon maaf kepadanya atas ketelanjuran yang dilakukan anak perempuannya.
Bersungguh-sungguh lelaki itu meminta agar Ilham tidak menceraikan anaknya.
Katanya, anaknya itu masih mentah. Tidak pandai berfikir. Nanti sedikit masa,
pasti anaknya akan pulang dan membina hidup bahagia bersama Ilham.
Walaupun Pak Idris itu garang menurut cerita anak lelakinya,
tapi dia tahu Pak Idris sangat sayangkan anak-anaknya. Sanggup lakukan apa saja
demi kebahagiaan kesemua anaknya walaupun kadang-kadang tindakannya itu
kelihatan keras dan keterlaluan di mata orang lain.
Tapi sayang, pengorbanan seorang ayah langsung tidak
dihargai oleh si anak. Walaupun sudah pulang ke tanah air hampir dua bulan,
langsung dia tidak menjenguk ayahnya di kampung. Entah kah sihat atau tidak
orang tua itu di kampung. Wajah tua Pak Idris terbayang di mata Idham. Rasa
terkilan dengan sikap Fida menjentik tangkai hatinya.
Fida terkejut dengan pertanyaan Ilham. Tidak sangka lelaki
itu akan bertanya berkenaan keluarganya. Tiba-tiba dia terasa sebak mengingati
ayahnya. Namun segera dia menutup perasaannya. Risau disedari Ilham.
“saya asal dari Perak. Semanggol. Ibu saya dah meninggal.
Tinggal ayah saya saja.” Fida menjawab juga pertanyaan Ilham. Ringkas sahaja.
“Kawasan kampung ke? Saya dengar tinggal di kampung best.
Tenang. Nanti bila-bila awak bawa saya balik kampung awak. Teringin saya nak
rasa suasana kampung.” Ilham meminta Fida membawanya pulang ke kampung.
Sekali lagi Fida tersentak mendengar kata-kata yang keluar
dari mulut Ilham. Dia sendiri sudah 3 tahun tidak pulang ke kampung. Masalahnya
pun masih belum diselesaikan. Masakan dia pulang membawa Ilham ke kampungnya?
Apa kata ayahnya dan penduduk kampung nanti bila dia pulang bersama lelaki lain
ke kampung? Diakan masih isteri orang.
“Tak boleh lah macam tu Encik. Encik kan lelaki, saya ni
perempuan. Nanti apa orang kampung kata. Lagipun, saya rasa suasana kampung tak
sesuai dengan encik.” Fida mencari alasan untuk menolak permintaan lelaki itu.
masalahnya belum selesai, ditambah pula dengan bala yang lain andai perkara itu
terjadi.
“Bukan saya sorang. Nanti saya ajaklah dua tiga kawan saya
ikut sekali. Orang kampung mesti tak cakap apa-apa kalau awak bawa kawan
ramai-ramai kan.” Ilham memberikan cadangan. Perasaan Fida terus diduga. Sesekali
dia memberhentikan kereta apabila lampu isyarat bertukar merah sebaik keluar
dari lebuhraya.
“Nanti-nanti lah encik. Lain kali kita bincang lain.” Fida
sudah tidak punya modal untuk menolak permintaan Ilham. Untuk bercerita perkara
sebenar memang tidak mungkin.
“ Biarlah. Nanti lama-lama lupalah dia nak ikut aku balik
kampung. Dia pun sibuk orangnya. Tak ada masa nak bersuka ria ikut aku balik
kampung.” telah Fida.
Suasana sepi kembali bertandang. Cuma sesekali Ilham
bertanya dan Fida menjawab. Tiada lagi perbualan serius. Hanya berkisar tentang
apa yang dilihat sepanjang perjalanan ke Lumut.
Beberapa jam kemudian, mereka tiba di Lumut. Ilham memilih
untuk menaiki feri dari Marina Island memandangkan perjalanan feri lebih dekat
berbanding jika menaiki feri dari jeti Lumut.
Selepas membeli tiket feri, Ilham dan Fida terus menaiki
feri menuju Pulau Pangkor. Kali ini kelibat bas yang membawa kakitanga Lavenda
Group masih belum kelihatan.
No comments:
Post a Comment