“Assalamualaikum, cik. Kami dari Jabatan Agama Islam. Kami
ada menerima laporan berlaku maksiat di sini. Kami harap cik boleh memberikan
kerjasama.” Seorang lelaki bersongkok yang berada di hadapan sekali bersuara.
Bersamanya beberapa orang lelaki dalam lingkungan 40-an memandang tepat ke muka
Fida.
Fida kaget. Salam yang dihulurkan pun dia tidak mampu
dijawab. Dia berpaling memandang wajah Ilham yang kini sudah berada di
belakangnya.
Ilham dilihat tenang sahaja. Fida pula sudah mahu menangis.
Memikirkan akan kata-kata orang berkenaan dirinya. Saat ini dia mula memikirkan
ayahnya, abang-abangnya serta suami yang tidak pernah dikenalinya. Apa yang
mereka akan cakap selepas berita ini tersebar? Hubungan yang keruh akan semakin
keruh selepas ini. Terasa kusut fikirannya.
“Encik, kami tak salah encik. Kami tak buat apa-apa pun,
saya….” Belum sempat Fida menghabiskan bicara lelaki tadi memotong katanya.
“Semua yang saya jumpa akan kata mereka tak bersalah.
Berikan saya kad pengenalan serta kad nikah. Jika ada kad nikah, barulah encik
berdua tidak bersalah. Jika tidak, kami terpaksa dakwa kamu berdua atas tuduhan
berkhalwat.” Terasa bagai ada batu besar menghempap dirinya tika ini. Air
matanya menunggu masa mahu gugur.
Ilham berlalu ke meja sisi di tepi katilnya. Beg duitnya
diambil dan dibawa ke muka pintu lalu berdiri di sebelah Fida. dia mengeluarkan
dua keping kad daripada dompetnya lalu diserahkan kepada lelaki di hadapan
mereka.
Seketika lelaki bersongkok itu meneliti kad yang diberikan
Ilham. dia membelek-belek kad yang sudah bertukar tangan sebelum menyerahkan kepada orang di belakangnya pula. Setelah berpuas hati, kad tersebut diserahkan kembali kepada Ilham.
“Maafkan kami encik. Kami harap encik faham, kami hanya
menjalankan tugas seperti yang diamanahkan. Kami bertindak pun setelah menerima
aduan.” Lelaki tersebut memohon maaf. Matanya memandang ke arah Ilham.
“Tak mengapa, saya faham.” Ilham menjawab ringkas. matanya melirik mencari wajah Fida yang kelihatan tidak beriak. mungkin tidak dapat mencerna apa yang sedang berlaku.
“Terima kasih atas kerjasama anda berdua. Baiklah, kami
pergi dulu.” Lelaki yang sama juga memohon izin untuk meminta diri. Serentak
dengan itu, huluran salam disuakan lalu dibalas oleh Ilham diikuti oleh lelaki
lain yang berada di situ.
Fida terpinga-pinga. Tidak menduga hal tersebut hanya
berakhir di situ sahaja. Kad yang dipegang Ilham diambil pantas sebelum sempat
Ilham menyimpannya semula. Kad tersebut jelas terpampang gambar dan nama Ilham
serta dirinya.
Matanya membulat membaca perkataan yang tertulis pada muka
kad tersebut. Mindanya mencerna apa sebenarnya yang sedang berlaku. Serentak
dengan itu, dia mendongak mencari wajah Ilham.
“Apa semua ini encik?” Fida mula menagih penjelasan.
“Apa yang awak tak faham? Awak tak faham yang sebenarnya
awak isteri saya? Isteri yang meninggalkan majlis pernikahannya tanpa menatap
wajah suaminya?” Ilham menjawab dengan pertanyaan. Tinggi nada suaranya. Dia kembali
duduk di atas katil kerana badannya terasa amat lemah saat ini.
“Ya Allah. Dugaan apakah ini?”Terkejut bukan kepalang Fida
mendengar kenyataan yang keluar dari mulut Ilham. Tidak berganjak dari tempat
dia berdiri.
Tidak disangka-sangka, Ilham Farish adalah suaminya. Pada masa itu
barulah dia teringat ayah dan angah pernah menyebut nama Ilham dihadapannya.
Tapi disebabkan akalnya tidak boleh berfikir dengan waras pada waktu itu, dia
langsung tidak peduli dengan nama yang mereka sebutkan.
“Awak tahu tak, orang disekeliling awak menderita disebabkan
perbuatan awak dulu? Keluarga dan ayah awak menerima umpatan atas perbuatan
awak. Mengadakan kenduri kahwin tanpa kehadiran pengantin. Ibu bapa saya
meninggal sebelum sempat lihat menantu mereka. Dan awak langsung tak fikir
perasaan saya bila pengantin saya lari di hari pernikahan. Awak dapat rasakah
malu yang kami tanggung pada masa tu?” Ilham tidak dapat lagi menahan rasa
kecewa dan marah yang dipendam selama tiga tahun ini. dia terus melepaskan bicara selepas tidak mendapat respon dari Fida.
Selama ini, dia masih mampu melihat Fida dari jauh kerana
kesabaran yang berjaya dipupuk. Dia tidak mahu gopoh kerana dia tahu jika salah
percaturannya, Fida akan semakin jauh dengannya. Silap hari bulan, Fida akan terus lari dari tanggungjawab. Sungguh dia tidak mahu perkara itu terjadi.
Air mata Fida mengalir laju. Fida tahu ada yang menderita
akibat perbuatannya dulu. Tapi, dia langsung tidak menyangka akibat dari
peristiwa itu lebih besar dari apa yang dia pernah bayangkan.
“Maafkan saya encik, maafkan saya..” hanya ucapan maaf yang
mampu dituturkan buat masa ini. Terjelupuk Fida di atas lantai.Tersedu-sedu
menangis menginsafi perbuatannya. Terbayang wajah ayah, along dan angah. Dia
mahu berjumpa dengan mereka semua. Mahu memohon maaf atas ketelanjuran
perbuatannya dulu.
Ilham menghampiri. Dipegang kedua-dua bahu Fida. ditatapnya wajah
Fida yang sedang menunduk dengan juraian air mata. “Fida, mendapat pengampunan
dari Allah mudah kerana Allah itu sememangnya maha pengampun. Tapi sangat sukar
mendapat pengampunan sesama manusia. Perasaan dendam dan benci sering merajai
manusia. Saya akui, saya juga tidak terlepas dari sikap-sikap buruk yang wujud
dalam diri saya.
suatu masa dulu, saya begitu marah dan berdendam dengan apa
yang telah awak lakukan pada saya. Tapi, arwah mama telah menyedarkan saya
Fida. sikap itu kelak akan merosakkan diri saya. Semenjak dari itu, saya telah
belajar untuk memaafkan perbuatan jahat orang lain pada saya. Termasuk
kesalahan yang telah awak lakukan. Namun saya sangat berharap pada awak, selain
memohon keampunan dari Allah, segeralah memohon maaf dari ayah awak Fida. ajal
manusia hanya Allah yang maha mengetahui. Penyesalan di kemudian hari tidak
berguna lagi.”
Mendengar kata-kata Ilham, tangisan Fida semakin kuat. Terus
sahaja dia memeluk dan menyembamkan wajahnya ke badan Ilham. Ilham yang
mengerti perasaan dan kesedihan yang ditanggung Fida, membalas pelukan isterinya.
Rasa sayu turut menyelubungi dirinya tika ini.
Biarlah isterinya menangis di pangkuannya malam itu. selepas ini, Ilham amat berharap agar dia tidak melihat lagi air mata keluar dari tubir mata isterinya. Dia mahu bahagia bersama Fida.
"Ya Allah, panjangkanlah jodoh kami." Doa Ilham di dalam hati.
No comments:
Post a Comment