Pemandangan di bumi Malaysia yang sudah 3 tahun tidak
dijejaki tidak sedikitpun melapangkan hatinya. Wajah ayah, along dan angah yang
sentiasa dirindui saban waktu seperti berlegar-legar di ruang mata. Rindu
kepada keluarganya tidak pernah sedikitpun surut malah semakin menebal. Ingin
sahaja dia pulang ke kampung untuk berjumpa keluarganya dan memohon maaf kepada
ayahnya, namun, dia belum bersedia. Dia tidak sanggup berhadapan dengan wajah
kecewa ayahnya serta cacian yang bakal diterima akibat dari perbuatannya dulu.
Walaupun sudah 3 tahun dia tidak pulang ke kampung, dia
masih mengetahui perkembangan keluarga dari angahnya. Kepada angah, dia
meminta agar berjanji untuk tidak memberitahu kepada sesiapa pun yang mereka
masih berhubung. Dan setelah 3 tahun, angahnya itu masih berpegang pada janji.
Melalui email yang dihantar angahnya juga, dia mendapat tahu angahnya itu telah
berkahwin dengan pilihan hatinya 2 tahun yang lalu. Sekarang, angahnya sedang
menunggu kelahiran cahaya mata sulungnya. Manakala abang sulungnya, Fakhrul
sudah dikurniakan 2 orang cahaya mata. Ayahnya yang sudah tua itu pula masih
mampu untuk berkebun. Walaupun ditegah oleh along dan angah, bapanya yang keras
kepala itu langsung tidak mempedulikan nasihat anaknya. Jauh disudut hatinya,
dia merasa terkilan kerana terlepas banyak memori indah bagi diri dan
keluarganya sepanjang 3 tahun ini.
Tentang statusnya sekarang, dia keliru. Sama ada dia masih
bergelar seorang isteri ataupun tidak. Fida merasakan dialah satu-satunya orang
di dalam dunia ini yang sudah berkahwin tapi langsung tidak mengenali suaminya
bahkan nama suaminya pun. Dia ada bertanya kepada Farid sama ada dia masih
bergelar seorang isteri beberapa bulan selepas peristiwa itu. Farid mengatakan,
dia masih seorang isteri yang sah.
Tetapi, apabila Farid mahu menceritakan lebih lanjut
berkenaan suaminya, dia langsung mencelah dan tidak mahu mendengar apa-apa.
Suaminya itupun langsung tidak pernah datang untuk mencarinya. Jadi dia
beranggapan, sebaiknya mereka meneruskan hidup seperti biasa sehingga tiba
masanya nanti. Di mana, pada masa itu dia sudah betul-betul bersedia untuk
merungkai permasalahan yang mereka hadapi serta memperoleh kekuatan untuk
memohon maaf kepada semua orang.
Kini, Fida sudah berada di hadapan rumah teres dua tingkat
seperti alamat yang tercatat di dalam kertas. Angahnya, Farid yang memberikan
alamat itu kepada Fida. Katanya, pada hari Fida pulang ke Malaysia, angahnya
itu terpaksa berangkat ke Singapura atas urusan kerja. Isteri angah pula
dikatakan berada di kampungnya kerana sedang sarat mengandung. Apabila angah
meminta untuk dia pulang ke kampung mereka di Perak, dia menolak dengan alasan
belum bersedia.
Melangkah sahaja di dalam rumah teres dua tingkat itu, dia
terpegun dengan hiasan dalaman rumah tersebut. Sungguh cantik dengan hiasan
bercirikan moden kontemporari. Sungguh menepati citarasanya. Kata angah, rumah
itu berdekatan dengan tempat kerjanya nanti. walaupun dia tidak meminta angah
untuk mencarikan rumah kepadanya semasa mengkhabarkan tentang tawaran kerja
yang diterimanya, angah dengan berbesar hati menawarkan diri untuk mencarikan
rumah. Sungguh dia amat bersyukur dan berterima kasih kerana dikurniakan abang
sebaik angah.
Semasa dia sedang belajar di Jepun pun, angah tidak lupa
memasukkan duit belanja setiap bulan kepadanya walaupun ditegah. Fida
sebetulnya tidaklah memerlukan banyak duit semasa belajar dahulu memandangkan
dia juga menerima biasiswa daripada kerajaan. Duit biasiswa itupun cukup untuk
menampung dirinya. Tapi angah tetap berdegil. Angah kata jika dia tidak mahu
menggunakan duit yang angah berikan setiap bulan, simpankan saja untuk kegunaan
sewaktu kecemasan.
Fida yang sedang mengelamun tersentak apabila mendengar
bunyi jam di dinding rumah. Dilihat waktu sudah menganjak pukul 6.00 petang.
Tersedar yang dia belum menunaikan solat, dia membawa begnya naik ke tingkat
dua rumah tersebut. Sebaik masuk ke dalam bilik utama, dia mengambil tuala dan
pakaian di dalam beg sebelum melangkah ke bilik air untuk mandi sebelum
bersolat.
…………………………………………………………………..
“Okey, saya kenalkan di sini our new IT Project Manager, Cik
Fida Antasya binti Idris. Dia akan mengetuai IT Department menggantikan En.
Zafuan.” Fida yang tadi duduk di salah satu kerusi dalam bilik mesyuarat itu
berdiri sebaik Ketua Jabatan Sumber Manusia memperkenalkan dirinya. Dia
tersenyum dan tertunduk sedikit melihat mata-mata yang sedang memandangnya.
Sekarang ini, dia sedang diperkenalkan kepada semua ketua jabatan di syarikat
itu dalam satu mesyuarat ringkas.
“Assalamualaikum, saya Fida Antasya. Saya harap anda semua
sudi memberi tunjuk ajar dan kerjasama kepada saya.” Fida bersuara setelah
diminta oleh Pn. Jannah, wanita yang telah memperkenalkan dirinya tadi.
Setelah berakhir sesi suai kenal, agenda mesyuarat
diteruskan dengan diketuai oleh Penolong Pengarah Urusan, En. Zulkifli.
“Okey, seperti yang semua sedia maklum, hari ini, pengarah
urusan kita tidak dapat bersama dengan kita dalam mesyuarat ini kerana beliau
telah ke Dubai atas urusan syarikat. Beliau hanya akan pulang dalam minggu
hadapan. Saya telah berbincang dengan beliau sebelum beliau berangkat, dan En.
Ilham bersetuju dengan tarikh yang telah saya cadangkan untuk hari keluarga
seperti yang kita bincangkan dalam mesyuarat lepas. Jadi, selepas ini, saya
berharap anda dan semua kakitangan syarikat akan memberikan kerjasama kepada
saya dan kakitangan dari jabatan saya untuk mempermudahkan perjalanan hari
keluarga tersebut. Perkembangan seterusnya akan dikhabarkan dari masa ke
semasa.” Pn. Ainon dari Jabatan Pengurusan bersuara sebaik tiba gilirannya
untuk memberi laporan.
Sebaik mesyuarat tamat, Fida dibawa oleh Pn. Jannah untuk
dikenalkan kepada kakitangan di jabatan yang bakal diketuainya kelak. Dia juga
telah dibawa melawat dan diterangkan serba sedikit berkenaan syarikat tersebut
sebelum memulakan tugasannya.
Sepanjang seminggu dia di Lavenda Group, dia masih belum
bertemu dengan En. Ilham Farish Dato’ Azman, Pengarah Urusan Lavenda Group
Sdn.Bhd. Hanya namanya sahaja sering meniti di bibir pekerja-pekerja syarikat
itu. Walaupun baru seminggu dia di syarikat itu, Fida sudah mendengar banyak
informasi berkenaan En. Ilham. Baik dari tukang cuci sehingga ketua-ketua
jabatan, ramai yang bercerita kepadanya berkenaan pengarah muda itu. Peribadi
Fida yang ramah dengan kakitangan tanpa mengenal pangkat dan jawatan membuatkan
baru seminggu di syarikat itu dia telah
berkenalan dengan hampir separuh dari kakitangan syarikat.
Terngiang-ngiang perbualannya bersama rakan sepejabat yang
baru dikenalinya, Meetha semasa mereka keluar makan tengahari sebentar tadi.
“Fida, you tahu tak, our CEO akan masuk office esok. You
belum jumpa dia lagi kan? I berani bet kalau you jumpa dia mesti you terpikat
dengan dia.” Meetha kelihatan sungguh teruja apabila bercerita berkenaan bosnya
itu. Meetha ialah setiausaha kepada En. Ilham.
“Isy, hensem sangat ke dia tu? Sejak I masuk sini, boleh
dikatakan tiap-tiap hari I dengar cerita pasal our CEO tu. Sampaikan Mak Cik
Esah tukang cuci tu pun cerita pasal En. Ilham.” Fida bertanya kepada Meetha.
Timbul perasaan ingin tahu apabila acapkali dia mendengar berkenaan En. Ilham.
“Gila you tak hensem. Hensem tau dia tu. Mix melayu dengan
mat saleh. Seumur hidup I, tak pernah
dapat kerja dengan bos sebaik En. Ilham tu tau. Tapi itu la, En. Ilham
kata dia dah kahwin. Tapi, sorang pun tak tahu pasal wife dia. Dia tak pernah
tunjuk pada kita orang. Bertuah betul wife dia dapat suami macam tu, dah la
kacak, baik, kaya pulak tu.” Bukan main lagi Meetha memuji bosnya.
“You secretary dia, takkan tak tahu siapa wife dia. Peliklah
macam tu. Selalu yang I tau kalau orang-orang korporat attend apa-apa majlis
mesti bawak wife dia.” Fida pelik dengan penjelasan Meetha. Takkanlah kalau
setiap hari orang bercerita pasal En. Ilham tu, tak ada siapa pula yang tahu
pasal isterinya. Macam tak logik saja.
“Betul I tak tahu. Wife dia tu macam tak wujud.
Kadang-kadang I rasa dia tipu saja bila dia kata dia dah kahwin. Mungkin nak
elakkan dari semua perempuan yang cuba nak berkepit dengan dia tu tak. Sebab tu
lah dia cakap dia dah kahwin.” Meetha terdiam sekejap sebelum menyambung kembali
katanya. “Ya, baru I ingat. En. Zulkifli tahu berkenaan wife dia. I pernah
terdengar bos bercakap pasal wife dia dengan En. Zul. I ada dengar something
about Jepun tapi tak berapa jelas waktu tu.”
Fida tersentak apabila mendengar deringan dari telefon
bimbitnya. Habis melayang ingatan perbualannya bersama Meetha berkenaan CEO
syarikatnya itu. tak sabar pula mahu melihat sendiri CEO yang dipuji-puji
ramai.
Fida tersenyum melihat nama pemanggil yang tertera di screen
lantas butang hijau ditekan. “Hello, angah. Apa khabar kau? Baru sekarang ingat
nak telefon aku ya.”
“Waalaikumussalam. Sihat saja. Yang telefon kau dua hari
lepas tu siapa pulak kalau bukan aku? Takkan lah aku nak telefon kau setiap
masa. Mahu mengamuk Kak Lina kamu. Nanti diingatnya aku pasang scandal. Mati
aku nak menjawab.” Angah sudah tergelak membayangkan muka isterinya yang sedang
marah.
“Iye la tu, Kak Lina mesti faham la kalau kau cakap kau call
aku. Aku ni kan adik kau angah. Takkan itupun dia nak merajuk jugak.” Fida
turut tergelak. Gambar perkahwinan angahnya bersama Kak Lina terlayang di layar
ingatan.
“Angin orang mengandung ni kau bukan tak tahu. Susah nak
dibaca. Nanti kau dah mengandung masaklah suami kau nak melayan.”
Secara tidak disedari Fida terguris dengan kata-kata
angahnya itu.
Tidak mendapat respon daripada Fida, Farid tahu yang adiknya
terasa dengan kata-katanya. “Fida, kau terasa ke? Sorry la ye. Aku tak
sengaja.” Farid memohon maaf.
“Tak pe.” Fida membalas ringkas.
“Kalau aku nak tanya sikit ni, kau jangan marah aku pulak.
Betul ke kau tak nak jumpa suami kau? Sekurang-kurangnya kenal serba sedikit ke
buat masa ni? Aku yakin nama suami kau pun kau tak pernah tahu kan? Farid
menduga. Dia sedar selama ini dia tidak pernah bercerita langsung berkenaan
suami kepada adiknya itu. adiknya pasti tidak mahu mendengarinya jika dia mahu
membuka cerita. Akhirnya, dia diamkan saja. Dia risau tindakannya yang memaksa
Fida akan menyebabkan adiknya itu semakin jauh dari mereka sekeluarga.
“Angah, kau pun tahu kan aku tak suka cakap pasal hal ni.
Aku terseksa angah. Ayah tak pernah nak faham perasaan aku.” Fida meluahkan
perasaannya.
“Ya, aku akui ayah tak fikir pasal perasaan kau masa dia
suruh kau kahwin dulu. Tapi, kau pun ada fikir tak perasaan ayah? Sebab apa
ayah suruh kau kahwin dengan Ilham? Ada kau tanya? Ada tak kau fikir perasaaan
Ilham lepas kau tinggal dia macam tu saja? Perasaan orang-orang sekeliling kau?
Come on la Fida, kau dah besar. Aku tahu kau boleh fikirkan.” Farid sudah tidak
dapat membendung persoalan yang bermain dibenaknya. Dia perlu menyedarkan Fida.
Terlalu ramai yang terluka akibat dari perbuatan Fida yang dulu.
Fida terdiam mendengar soalan yang bertubi-tubi keluar dari
mulut angahnya. Air matanya menitis lagi walaupun angahnya bertanya bukan
dengan nada yang marah jauh sekali mengherdik.
Tanpa sebarang jawapan, dia mematikan panggilan telefon tersebut.
Telefon yang gelap dicampakkan sahaja di atas katil. Malam itu, air matanya
tumpah lagi.
No comments:
Post a Comment